Manuel Ott pilih ‘ubah angin’ sertai Terengganu FC
Ketua Pegawai Eksekutif TFC Ab Rasid Jusoh berkata pemain berusia 29 tahun yang dilahirkan di Munich, Jerman itu dipilih bagi mengisi kuota Asean menggantikan Carli De Murga, yang tidak disambung kontrak.
“Manuel Ott telah mempamerkan prestasi cemerlang ketika bersama Melaka United.
“Beliau telah beraksi dalam hampir kesemua perlawanan ketika bersama skuad Hang Tuah musim lalu dan antara watak penting yang membawa pasukan itu ke separuh akhir Piala Malaysia,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Selain Ott, tonggak import skuad Penyu turut dibarisi oleh Argzim Redzovic, Kipre Tchetche, Kpah Sherman, Jordan Mintah, Pape Diakite, Luke Woodland dan Habib Haroon.
Sebelum menyertai Melaka United dan skuad Penyu, Ott yang juga pemain kebangsaan Filipina pernah bermain di Liga Thailand dengan menyarung jersi kelab Ratchaburi Mitr Phol FC.
Sementara itu, Ott berkata beliau memilih berhijrah ke Terengganu kerana tertarik dengan corak permainan yang diterapkan oleh ketua jurulatih, Nafuzi Zain.
Selain itu, beliau teruja untuk bergandingan dengan barisan pemain import baharu skuad Penyu yang berkualiti dan memiliki reputasi baik di Liga M. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.