Sorting by

×

MANTAI AIDILFITRI DUYONG MERIAH, PELBAGAI BARANGAN DIJUAL MURAH

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

DUYONG 29 Mac – Seawal jam 6.30 pagi, orang ramai telah memenuhi tapak parkir Masjid Jamek Laksamana Hang Tuah, di sini, bagi mendapatkan pelbagai barangan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada harga lebih murah menerusi Jualan Rahmah Mantai Aidilfitri Peringkat Daerah Melaka Tengah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, kemeriahan itu bermula usai solat Subuh di masjid berkenaan meskipun program hanya bermula pada jam 8.30 pagi.

Katanya, dek kerana sambutan luar biasa diterima, peniaga terpaksa menyediakan barangan jualan dua kali ganda daripada kebiasaan.

“Sejak awal pagi tapi orang sudah memenuhi tapak parkir perkarangan masjid lebih awal kerana tidak mahu terlepas membeli persiapan memasak untuk lebaran.

“Kita juga sudah maklum kepada penganjur bagi memastikan barangan jualan cukup dan tidak mahu orang ramai pulang dengan kekecewaan.

“Sehingga jam 12.30 tengah hari orang ramai memanfaatkan sepenuhnya barangan seperti telur ayam sepapan dijual serendah RM5; daging segar sekilogram hanya RM32; ayam seekor RM10 dan pelbagai lagi barangan yang dijual dengan harga lebih rendah dari pasaran,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di lokasi terbabit.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, pengunjung yang datang bukan sahaja dari Duyong, malah ada juga yang datang dari seluruh pelusuk negeri.

“Orang tidak ramai datang dalam satu-satu masa, namun pengunjung yang hadir seolah berganti baton, sentiasa ada.

“Saya harap dengan penganjuran jualan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan orang ramai dalam mempersiapkan juadah Aidilfitri nanti,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1153
Kongsi :
Previous post PENIAGA PUKUL LELAKI DENGAN HELMET DITAHAN, PERSELISIHAN FAHAM ATAS JALAN JADI PUNCA
Next post WARGA EMAS MAUT DILANGGAR LORI KETIKA LINTAS JALAN