Mansuh AP kawal ‘orang tengah’ monopoli harga makanan asas – Mohd Ridhwan
AYER KEROH 26 Mei – Langkah kerajaan memansuhkan keperluan permit import (AP) bahan makanan adalah tepat bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi untuk rakyat.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, ia juga membantu mempermudahkan pengimportan bahan makanan ke dalam negara selain menghalang orang tengah yang memonopoli pasaran serta mengawal harga bahan makanan asas di negara ini.
“Saya menyokong keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menghapuskan AP bagi semua bahan makanan termasuk ayam bulat, keratan ayam dan juga gandum untuk memastikan bekalan bahan makanan asas ini kembali stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman Perdana Menteri baru-baru ini mengenai pemansuhan keperluan AP Import.
Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Hang Tuah Jaya berkata, negara seperti India juga telah melaksanakan tindakan jangka pendek yang sama pada awal bulan ini dengan menghentikan eksport gandum.
“Ia bagi mengawal bekalan bahan makanan mereka sekali gus mengelakkan krisis makanan dalam kalangan rakyat di negara terbabit.
“Bagi tindakan jangka masa panjang kerajaan perlu bantu penternak-penternak menambah kapasiti pengeluaran ternakan mereka agar dapat mengimbangi dan memenuhi semula keperluan pasaran dalam negara.
“Harga dedak dan makanan haiwan perlu diberikan perhatian agar kos ternakan dapat diturunkan dan harga siling bahan makanan asas ditetapkan kerajaan dapat dipenuhi oleh usahawan ternakan di negara ini,” katanya.
Beliau turut menyarankan kerajaan untuk meletakkan garis panduan harga daging lembu supaya terkawal dan tiada pihak boleh memanipulasi harganya dengan meletakkan harga yang tinggi.
“Kerajaan perlu melaksanakan dasar drastik untuk mengurangkan secara signifikan pengimportan bahan makanan dari luar negara.
“Selagi kita masih bergantung pada pembekalan bahan makanan secara import, selagi itu masalah ini tidak selesai sekiranya krisis makanan pada peringkat global berlaku,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.