MANIFESTASI TEKS SULALATUS SALATIN HIMPUN 39 KARYA ARTIS TEMPATAN
BANDA HILIR 23 Januari – Sebanyak 39 karya seni dan sastera berdasarkan Teks Sulalatus Salatin yang diterjemah ke visual dihimpunkan di Balai Seni Lukis, di sini, bermula 18 Januari hingga 30 April depan.
Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, karya tersebut dihasilkan 27 artis daripada Persatuan Pelukis Negeri Melaka dengan kerjasama Balai Seni Negara dan sokongan penuh daripada Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM).
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah PERZIM berkata, pameran tersebut menampilkan karya-karya hebat artis tempatan dalam pelbagai media seperti lukisan, arca dan instalasi seni.
“Setiap karya yang dipamerkan di Balai Seni Lukis ini merupakan karya terinspirasi dari kisah-kisah epik yang terkandung dalam karya agung Sulalatus Salatin.
“Manifestasi Teks Sulalatus Salatin ke Visual ini merupakan wadah penting dalam meraikan seni dan sastera di samping program ini melambangkan aspirasi untuk memartabatkan karya seni tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pameran Manifestasi Teks Sulalatus Salatin ke Visual di Balai Seni Lukis, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengurus Besar PERZIM Erne Hamsah; Ketua Cawangan Pendidikan dan Galeri Balai Seni Negara, Maisarah A.Bakar; Penolong Kurator Kanan Cawangan Pendidikan dan Galeri Balai Seni Negara Mohamad Shamsul Bahari Yusof; Ketua 1 Kumpulan Pelukis Negeri Melaka, Pardan Moslem dan Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, Johan Wahyuddin Taib.
Mengulas lanjut, Zaidi berkata pameran terbabit mampu menjadikan aspirasi dan menyemarakkan minat terhadap seni dan sastera terutama dalam kalangan generasi muda.
“Usaha ini besar ertinya dalam mengangkat martabat seni visual dan sastera tempatan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.