Mangsa sering cerita kisah tanah runtuh di Cameron Highlands

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

IPOH, 2 Dis – Pemandu lori yang maut tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Km 27.10 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley dekat sini selalu berkongsi cerita berkaitan kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands sebelum beliau sendiri menjadi mangsa tragedi kejadian tanah runtuh di kawasan peranginan tanah tinggi itu, kata abangnya Mohd Kamal Hamdi.

Mangsa Muhammad Hafiz Hamdi, 31, bapa kepada dua anak, seorang berusia dua tahun dan seorang lagi masih bayi, memandu lori dengan muatan sayur-sayuran dari kawasan tanah tinggi itu setiap hari.

Mohd Kamal, 40, berkata dia berasa hairan apabila arwah adiknya itu secara tiba-tiba berdiam diri apabila dia berkongsi mengenai kejadian tanah runtuh berkenaan di dalam pesanan WhatsApp keluarga mereka.

“Gerak hati saya terasa lain sebab tiada tindak balas daripadanya seperti sebelum ini jadi saya menghubungi rakannya untuk mendapatkan kepastian kerana bimbang akan keselamatannya.

Apabila rakannya memaklumkan adik saya terlibat dalam kejadian, saya terus pulang ke Ipoh dengan memandu lori dari Kuala Lumpur dan segera membawa kereta ke lokasi tanah runtuh kerana masih tidak percaya ia menimpanya,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Mohd Kamal berkata beliau sendiri melakukan pengecaman mayat adiknya kerana isteri mangsa masih berada dalam keadaan trauma.

Menurutnya jenazah akan dikebumikan di kampung mereka di Tanjung Piandang, Parit Buntar selepas segala urusan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh selesai.

Sementara itu di Jabatan Forensik HRPB, abang ipar mangsa tanah runtuh yang ditemui memberitahu arwah seorang yang ceria dan baik hati.

Rosli Saidin, 52, dari Butterworth, Pulau Pinang berkata beliau mengetahui mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7 malam tadi daripada isteri mangsa yang merupakan adik perempuannya.

“Pada mula anak saya melihat gambar kejadian yang tular namun tidak dapat pengesahan daripada sesiapa sama ada mangsa itu adik ipar saya.

“Kami sekeluarga reda namun agak terkejut dengan kejadian ini,” katanya.

Beliau yang juga pemandu lori sayur berkata arwah memang kerap berulang-alik ke Cameron Highlands untuk mengambil sayur untuk dijual di sekitar Parit Buntar.

Rosli berkata arwah mempunyai sepasang anak berusia kira-kira dua dan setahun hasil perkahwinan dengan adik perempuannya sejak empat tahun lalu.

Katanya isteri mangsa yang mengetahui mengenai kejadian itu terus bergegas dari Tanjung Piandang, Parit Buntar ke lokasi kejadian.

Setakat ini dua mangsa maut tertimbus yang ditemui iaitu Muhammad Hafiz dan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dikenali sebagai Tan Chee Heng, 36, yang dalam perjalanan dari Gua Musang ke Pulau Pinang.

Difahamkan, Chee Heng yang berasal dari Klang, Selangor ingin melawat neneknya dengan membawa buah strawberi di dalam kenderaan dipandunya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

758
Kongsi :
Previous post Tanah runtuh: Mayat pemandu lori, MPV ditemukan
Next post PRN Sarawak: Bakal calon diminta buat semakan awal borang penamaan
Ubah saiz-+=