Mangsa kebakaran terima hadiah terindah 2023

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

GADEK 20 Januari – Dua beranak yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumah didiami mereka hangus dijilat api dua tahun lalu, menerima hadiah terindah bersempena tahun baharu 2023.

Alwi Jailani, 71 dan anaknya Azwan, 32 menerima teratak baharu berupa sebuah rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah hasil bantuan Japerun Gadek.

Azwan berkata, dia dan bapanya hanya mampu memanjatkan kesyukuran dan berterima kasih kepada kerajaan kerana prihatin dengan nasib mereka selepas hilang tempat berteduh.

Dia yang bekerja sebagai kakitangan Pos Malaysia berkata, kejadian yang berlaku pada subuh 20 Mac 2021 lalu, berlaku begitu pantas yang mana dia dan bapa hanya sempat menyelamatkan diri tanpa dapat menyelamatkan barangan berharga.

Katanya, selain rumah, kereta Perodua Viva yang diparkir di hadapan rumah turut hangus dijilat api.

“Masa kejadian saya hanya dengar bunyi yang sangat kuat seperti orang sedang korek tanah dan apabila saya bangun, saya lihat bahagian dapur sudah berwarna merah, selain api sedang marak menuju ke ruang tamu.

“Sehingga kini kami tidak tahu bagaimana kebakaran itu berlaku, tetapi menurut laporan bomba ia terjadi disebabkan litar pintas dan kami reda dengan dugaan itu.

“Apapun, alhamdulillah hasil keprihatinan wakil rakyat kawasan dan kerajaan, kini kami dapat rumah baharu yang cukup selesa buat kami berteduh dua beranak,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, Majlis Penyerahan Kunci Rumah PPRT itu telah disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek VP Shanmugam, semalam.

Menurut Shanmugam, sebagai wakil rakyat kawasan, beliau sentiasa berusaha semampunya untuk membantu rakyat yang ditimpa kesusahan di bawah pentadbirannya.

“Saya selaku Adun kawasan juga berterima kasih kepada pihak kementerian yang membantu menghadiahkan rumah yang cantik dan indah ini kepada pemohon.

“Terima kasih juga kepada kontraktor terlibat yang menjaya serta menyegerakan bantuan rumah kepada Encik Alwi dan anaknya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2025
Kongsi :
Previous post LPM perkasa integriti ikrar bebas rasuah
Next post Tak sangka Mak Misah jadi mangsa
Ubah saiz-+=