Mangsa banjir terharu bekas PM datang melawat
DURIAN TUNGGAL 23 Okt – Di sebalik musibah banjir yang melanda beberapa tempat di Melaka baru-baru ini, mangsa banjir berkesempatan menyuarakan keluh kesah mereka terus kepada pemimpin tertinggi negara, yang menyantuni mereka hari ini.
Kunjungan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Ketua Menteri, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali ke rumah mangsa banjir di Kampung Belimbing Dalam, di sini, memberikan sedikit kelegaan kepada Jaafar Osman, 55, yang rumahnya dinaiki air dalam kejadian hujan lebat kelmarin.
Pada lawatan itu, beliau menyantuni keluarga Jaafar yang terjejas akibat banjir dan memaklumkan perkhabaran gembira buat keluarga itu bahawa ada pihak yang sudi menawarkan kerja-kerja pembaikan rumah mangsa yang rosak akibat dilanda banjir baru-baru ini.
Dalam lawatan hampir 20 minit itu, Najib sempat beramah mesra dengan keluarga Jaafar dan bergambar bersama cucu Jaafar yang berusia antara empat hingga lapan tahun.
Najib yang juga Pengerusi Penasihat Barisan Nasional (BN) berkata, bantuan berupa pelbagai barangan keperluan asas seperti beras, gula, tepung gandum dan peralatan kebersihan akan turut diedarkan kepada 700 keluarga mangsa banjir yang terjejas dalam Parlimen Alor Gajah.
Sementara itu Jaafar berkata, trauma yang dialami apabila terpaksa menyelamatkan salah seorang cucunya ketika air banjir tiba-tiba naik mendadak di kediamannya kelmarin, terubat apabila menerima kunjungan Najib dan Sulaiman.
“Saya rasa terharu, beliau (Najib) bertanyakan khabar dan sempat bertanyakan apa keperluan lain yang dikehendaki bagi memudahkan saluran bantuan diberikan kepada keluarga kami.
“Beliau juga beritahu ada pihak yang sudi baiki rumah saya yang rosak, Alhamdulilah, terima kasih Najib,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.