Sorting by

×

MANGSA BANJIR MELAKA TERUS MENINGKAT

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

AYER KEROH 7 Mac – Mangsa banjir di negeri ini yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terus meningkat apabila mencecah 330 orang setakat jam 8 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah itu membabitkan 93 buah keluarga dari dua daerah yang terjejas di negeri ini.

Menurut kenyataan berkenaan, daerah Jasin paling teruk terjejas setakat ini apabila merekodkan seramai 264 mangsa yang ditempatkan di tiga PPS.

“Jumlah mangsa tertinggi adalah di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum iaitu seramai 152 mangsa daripada 45 keluarga, diikuti 107 mangsa dari 31 keluarga di PPS SMK Dato’ Abdul Rahman.

“Selain itu, satu PPS baharu dibuka malam tadi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu Sungai Rambai yang menempatkan lima mangsa dari dua buah keluarga,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, sekretariat berkenaan memaklumkan, di daerah Melaka Tengah, seramai 66 mangsa masih ditempatkan di dua buah PPS iaitu SK Seri Duyong (43 mangsa daripada 10 keluarga) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Malim (23 mangsa dari lima keluarga).

Setakat pagi ini, sebanyak 37 kawasan terjejas banjir susulan hujan lebat yang berlaku awal pagi semalam iaitu membabitkan 32 kawasan di daerah Melaka Tengah dan lima kawasan di daerah Jasin.

Antara kawasan terjejas adalah Kampung Pengkalan Rama, Kampung Chetty, Kampung Batu Berendam, Kampung Kolam, Kampung Limbongan, Taman Pandan Mawar, Taman Malim Jaya, Jalan Merdeka, Taman Pandan Jaya, Taman Gadong Perdana, Taman Bertam Perdana, Taman Pandan Malim dan Lorong Pandan.

Selain itu ia turut membabitkan kawasan Bakar Batu, Taman Balqis Balai Panjang, Taman Malim Permai, Kampung Solok Samak, Kampung Padang Pokok Mangga, Bandar Kaba, Bukit Cina, Bukit Tempurung, Kampung Bandar Hilir, Kampung Ayer Leleh, Taman Rambai Jaya, Taman Rambai Utama, Kampung Pengkalan Renggam, Kandang, Ayer Molek, Paya Dalam, Taman Rambai Indah, Kampung Klebang Kecil dan Kampung Pokok Manggis Pulau Gadong.

Manakala di daerah Jasin merangkumi kawasan Kampung Kilang Berapi Utara, Kampung Kilang Berapi Barat, Kampung Merlimau Pasir, Kampung Asam Kumbang dan Batu Gajah.

Orang ramai yang terjejas dengan bencana seperti banjir boleh menghubungi talian Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri Melaka di talian 06-2307602 / 7624 / 7625 (PKOB Negeri Melaka) atau 06-2325200 (PKOB Melaka Tengah); 06-5591253 (PKOB Alor Gajah) serta 06-5294619 / 4617 / 4611 (PKOB Jasin).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post KELAINAN BERBUKA PUASA DI DATARAN VISTA ALAMANDA
Next post YB HELMY ‘BERJAGA’ PANTAU BANJIR, SALUR BANTUAN KETUA MENTERI