Sorting by

×

Mangsa banjir dibantu menginap sementara di chalet

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

PANTAI KUNDOR 25 Nov. – Satu keluarga dari Kampung Bukit Berlian, di sini yang rumahnya dinaiki air malam tadi, berjaya diselamatkan dan dibantu menginap sementara di sebuah chalet di Pantai Puteri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan berkata, sejurus mengetahui musibah yang berlaku di kampung tersebut selepas hujan lebat malam tadi, pihaknya terus menggerakkan usaha membantu mangsa yang terlibat.

Jelasnya, keluarga itu yang mempunyai anak kecil berusia antara dua hingga sembilan tahun memerlukan bantuan tempat tinggal ekoran rumah didiami dinaiki air, justeru pihaknya terus menyediakan bilik di sebuah chalet yang terletak berhampiran pantai dan menanggung sepenuhnya penginapan tersebut.

“Diikutkan ada enam buah rumah lagi terlibat di Kampung Berlian dan Kampung Paya Rumput Hilir. Namun dua daripadanya enggan berpindah, manakala tiga lagi kita bantu dengan menghantar mereka ke rumah saudara-mara berhampiran.

“Keluarga ini tiada tempat tinggal terdekat, jadi kita bawa mereka untuk menginap sementara di chalet yang ada. Buat masa ini kita akan beri mereka menginap selama dua hari dan melihat semula keadaan banjir di kawasan itu.

“Sekiranya sudah surut mereka akan kembali ke rumah mereka. Jika tidak kita akan terus memberi bantuan. Apapun, kita perlu melihat keadaan beberapa hari ini sama ada hujan lebat akan kembali atau tidak,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Nor Azman lagi, selain dibantu dari segi penginapan, pihaknya bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Pantai Kundor turut menanggung makanan seharian buat keluarga berkenaan.

Views:

456
Kongsi :
Previous post Laporan semasa banjir Daerah Alor Gajah setakat jam 4 petang
Next post Media City: RTM tidak dapat bersiaran sekiranya projek ditangguh
Ubah saiz-+=