Mangsa banjir di empat negeri berkurangan, Johor masih meningkat

Masa Membaca:2 Minit, 35 Saat

KUALA LUMPUR, 11 Jan-  Situasi banjir di beberapa negeri menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun dengan mangsa di Terengganu dan Perak dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Bagaimanapun, menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) jumlah mangsa di Johor meningkat menjadikan jumlah keseluruhan mangsa di Pahang, Kelantan dan Johor kini   mencecah 26,546 orang.

Menurut portal infobanjir.water.gov.my, paras air sungai di beberapa lokasi  juga masih melepasi paras bahaya antaranya di sepanjang Sungai Pahang termasuk Lubuk Paku dan Maran; Sungai Jelai di Lipis serta Sungai Golok di Rantau Panjang dan Kuala Jambu.

Di PAHANG, jumlah mangsa di 222 PPS petang ini berkurangan kepada 22,055 berbanding 23,944 orang pagi tadi dengan Temerloh masih merekodkan jumlah teramai iaitu 11,109 orang.

Ia diikuti Maran (2,795 orang), Pekan (2,662 orang), Bera (1,586 orang), Lipis (1,268 orang), Raub (1,038 orang),  Jerantut (786 orang). Kuantan (748 orang) dan Rompin (63 orang).

Sementara itu, pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) ANIH Berhad dalam kenyataannya  memaklumkan semua lorong di KM126.3 antara Chenor dan Temerloh yang sebelum ini hanya dibuka di lorong laju bagi kedua-dua hala, kini dibuka sepenuhnya mulai 1 tengah hari tadi.

Di KELANTAN jumlah mangsa banjir membabitkan dua jajahan semakin berkurangan kepada 888 orang setakat 3 petang ini berbanding 1,702 mangsa pada pagi tadi di 10 PPS dengan Pasir Mas seramai 674 mangsa dan Kuala Krai (214 mangsa).

Situasi berbeza di JOHOR apabila jumlah mangsa di 42 PPS terus meningkat kepada 3,603 orang berbanding 3,145 orang pagi tadi, dengan Kluang merupakan daerah terbaharu dilanda banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri R. Vidyananthan berkata jumlah ini meliputi seramai 2,219 mangsa di Kota Tinggi; 1,104 mangsa (Johor Bahru); 104 mangsa (Kulai) dan 73 mangsa  (Kluang),  22 mangsa (Mersing) dan 81 mangsa (Segamat).

“Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan beberapa daerah akan mengamalkan cuaca tahap waspada dengan hujan lebat berterusan pada esok hari,” katanya.

Di TERENGGANU dan PERAK situasi banjir telah pulih sepenuhnya membawa kepada penutupan PPS dan semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sementara itu, di SABAH,  jumlah mangsa banjir di Kudat meningkat kepada 71 orang setakat pukul 4 petang ini berbanding hanya 44 orang pagi tadi.

Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, kesemua mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Mustapa yang dibuka pada pukul 8.30 pagi tadi.

Selain Kudat, dua daerah lagi iaitu Pitas dan Kota Marudu turut terjejas banjir berikutan hujan berterusan sejak semalam.

Berdasarkan kenyataan itu, sebanyak tujuh kampung dinaiki air di Pitas dan lima kampung di Kota Marudu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 29 kampung terjejas banjir di Sabah.

Tiga PPS dibuka di Kota Marudu iaitu SK Taritipan, Dewan SMA Damai dan Dewan Kampung Asin-Asin pada pukul 2 petang tadi, namun, belum ada penduduk kampung ditempatkan di PPS terbabit.

“Anggota bertugas kini sedang dalam proses memindahkan mangsa banjir ke PPS. Jumlah mangsa banjir akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

Belum ada PPS dibuka di Pitas setakat ini.- BERNAMA

Views:

358
Kongsi :
Previous post 7 amanat wajib dilaksanakan penjawat awam
Next post Melaka sedia hantar misi bantuan pasca banjir ke Pahang
Ubah saiz-+=