Manfaatkan tanah wakaf untuk pembinaan SRA – KM

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

DUYONG 8 Disember – Perkhidmatan pendidikan agama di Negeri Melaka mampu diperkasakan lagi jika wujudnya sinergi kerjasama pelbagai pihak dan individu dalam melancarkan lagi urusan penggunaan tanah wakaf bagi tujuan itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, perkara itu tidak mustahil kerana sebelum ini sebahagian tapak SRA dibangunkan ditapak yang diwakafkan individu.

“Kejayaan merealisasikan pembinaan projek atas tanah wakaf wajar dijadikan contoh kepada pengurusan sekolah dan pemimpin setempat yang lain.

“Ini membuktikan bahawa sekiranya ahli kariah bekerjasama menggerakkan sinergi tanah wakaf, maka lebih banyak SRA boleh dibangunkan mengikut kesesuaian dan keperluan,” katanya pada Majlis Perasmian Sekolah Rendah Agama JAIM Seri Duyong di Kampung Permatang Duyong, di sini, 8 Disember lalu.

Majlis perasmian itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Sulaiman berkata, SRA Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Seri Duyong dibina di atas tanah rezab JAIM dengan kos berjumlah RM4.383 juta daripada Kerajaan Negeri.

Katanya bangunan SRA dilengkapi 15 bilik darjah itu mampu menampung kapasiti 974 orang murid dengan dua sesi pembelajaran.

Menurutnya, pembinaan bangunan itu dimulakan pada 10 Disember 2018 dan siap sepenuhnya pada 4 Februari 2021, namun hanya mula beroperasi 21 Mac lalu berikutan pandemik COVID-19.

“Saya yakin, dengan adanya sekolah ini, suasana pengajaran dan pembelajaran akan lebih kondusif untuk semua warga SRA JAIM Seri Duyong dan diharapkan agar ia dapat memberikan ketenangan kepada para guru dan keseronokan belajar kepada para pelajar seterusnya
dapat meningkatkan kecemerlangan prestasi pencapaian akademik dan ko-kurikulum sekolah.

“Melalui majlis perasmian ini juga secara tidak langsung dapat memberi pemakluman dan hebahan seterusnya mempromosikan SRA ini kepada masyarakat setempat yang masih belum menghantar anak mereka ke sekolah agama bagi mendapatkan pendidikan agama melalui kurikulum Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

“Oleh yang demikian, saya menyeru kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka dengan mengambil peluang atas kemudahan yang disediakan ini demi perkembangan menyeluruh anak-anak untuk menerima pendidikan agama,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2158
Kongsi :
Previous post Melaka dapat lima sekolah agama dalam tempoh dua tahun
Next post Tiada projek ‘sakit’ di Melaka 2020 hingga 2022 – KM
Ubah saiz-+=