
MANFAAT JUALAN MURAH SEBAGAI PERSIAPAN RAMADAN
LENDU 1 Mac – Jualan pelbagai barangan pada harga lebih murah dan segar di pasar tani dimanfaatkan orang ramai bagi membeli barangan keperluan sebagai persiapan menyambut Ramadan yang bermula esok.
Tinjauan Melaka Hari Ini di Pasar Tani Masjid Tanah mendapati antara yang menjadi tumpuan pengunjung adalah seperti hasil laut, ayam, daging dan ikan.
Seorang pengunjung, Junainah Salimin, 44 yang berasal dari Selangor berkata, dia mengambil kesempatan penganjuran pasar tani itu untuk membeli stok bekalan makanan bagi bulan puasa untuk ibu mentuanya.
“Pembelian barangan basah di pasar tani lebih murah dan segar jika dibandingkan di pasar raya, jadi saya ambil peluang untuk turut serta membeli stok bulan puasa.
“Persiapan Ramadan tahun ini lebih sederhana dibandingkan tahun lalu, faktornya adalah tarikh buka sesi persekolahan dan Ramadan yang terlalu hampir, jadi berbelanja apa yang perlu sahaja,” ujarnya kepada Melaka Hari Ini.
Sementara itu, warga emas, Hasnah Nikmat, 62, yang tinggal di Kampung lekok berkata dia memilih untuk membeli barangan basah di pasar tani memandangkan barangan keperluan di situ lebih menjimatkan.
“Setiap kali menjelang Ramadan atau Syawal memang di pasar pagi tempat dituju untuk membeli barangan untuk siapkan juadah.
“Tahun ini anak menantu menyambut Ramadan bersama, jadi banyaklah sikit barang yang dibeli. Namun saya berpuas hati kerana harga di sini masih murah,” katanya.

Seorang lagi warga emas, Hashim Ali, 70, dari Lendu berkata, dia bersyukur kerana masih berpeluang membeli pelbagai barangan pada harga menjimatkan untuk persiapan Ramadan.
“Saya beli telur ayam sepapan pada harga RM10, beras 10 kilogram (kg) RM26 dan sempat beratur membeli Set Kombo Madani.
“Saya juga dapat membeli barangan mentah seperti ikan dan ayam pada harga yang lebih rendah. Pada saya sangat berbaloi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.