Sorting by

×

Manfaat dana kerajaan pasar produk dalam talian- Tengku Zafrul

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

JEMPOL 14 Feb. – Peniaga disaran memanfaatkan sepenuhnya dana
disediakan kerajaan untuk memasarkan produk mereka secara
dalam talian, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul
Abdul Aziz.

Beliau berkata ketika negara berada dalam fasa Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan bagi membendung
penularan COVID-19, kesempatan itu seharusnya dimanfaatkan
peniaga bagi menjana pendapatan.

“Hari ini saya melawat usahawan di bawah Pihak Berkuasa
Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA)… kita nak
lihat sendiri bagaimana pengusaha IKS (Industri Kecil dan
Sederhana) telah berjaya menghasilkan produk-produk, insya-
Allah dapat dipasarkan.

“Saranan saya kepada usahawan semasa PKP ini, mereka
sepatutnya mengambil peluang itu dengan memulakan perusahaan
dan tidak berputus asa. Kita dapat melihat perniagaan dalam
talian, kerajaan telah membantu dengan memberi dana untuk
peniaga memulakan perniagaan dalam talian,” katanya kepada
pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat dua
usahawan di bawah Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) di
Kampung Serting Ilir.

Turut hadir Pengerusi RISDA Datuk Mohd Salim Sharif.

AET adalah program di bawah RISDA bertujuan menggalakkan
pekebun kecil menceburi bidang keusahawanan bagi menjana
pendapatan tambahan.

Tengku Zafrul kemudian merasmikan Pusat Program Pembelajaran
Digital dan Multimedia di sini yang menyediakan kemudahan
Internet bagi keperluan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah
(PdPR).

Menteri Kewangan itu, yang dalam lawatan kerja ke daerah
Jempol, turut menyerahkan sumbangan tablet kepada 20 pelajar
sekolah rendah dan menengah daripada keluarga kurang
berkemampuan (B40).

Pengurus pusat berkenaan Nurul Azma Shafiqah Khairul Azhar
pula berkata buat masa ini, pusat tersebut dilengkapi tujuh
komputer riba dan sebuah Televisyen Pintar bagi kegunaan PdPR.

“Pusat ini baru beroperasi minggu lepas dengan tumpuan kepada
keluarga yang mempunyai anak ramai serta tidak cukup peranti
bagi keperluan PdPR.

“Sambutan menggalakkan dan pusat ini mampu memuatkan seramai
10 pelajar dengan mengambil kira penjarakan fizikal,” katanya
sambil menambah pusat itu beroperasi dari Isnin hingga Jumaat
bermula 8.30 pagi hingga 5 petang.

Views:

420
Kongsi :
Previous post ‘Biar tiada gaji, asalkan amal jariah kami dicatatkan’
Next post Tarikh daftar, kemas kini BPR dilanjutkan sehingga 25 Februari
Ubah saiz-+=