MANEK SULAMKAN SI AYER MATA, ANGKAT SENI HALUS KASUT MANIK
AYER KEROH 4 Disember – Teater Perpaduan Peranakan: Manek Sulamkan Si Ayer Mata mengangkat keunikan seni halus kasut manik yang menjadi warisan adat budaya kebanggaan Peranakan Baba Nyonya.
Presiden Persatuan Pelancongan Negeri Melaka (MTA), Madeline Kuah berkata, teater dipentaskan pada 22 dan 23 November lalu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) berjaya menarik lebih 600 penonton.
Katanya, pembukaan pementasan perdana pada 22 November turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Ab Rahman.
“Teater ini mengisahkan Guek Neo, seorang pengusaha kasut manik Baba Nyonya yang dirundung kesedihan dan perasaan bimbang berikutan anak perempuan tunggalnya, Molly menolak untuk mewarisi perniagaan keluarga yang kaya dengan tradisi ini kerana mahu berkahwin.
“Atas nasihat dan idea sahabat baiknya iaitu Leha Tapak, Guek Neo memberi restu kepada Molly untuk berkahwin, namun menetapkan syarat iaitu harus menyiapkan sepasang kasut manik untuknya. Pada awalnya Molly menolak, dia berasa syarat itu tidak munasabah dan sengaja ingin menyusahkan dirinya.
“Tetapi atas dorongan sahabat, Molly bersetuju meskipun proses menyiapkan kasut berkenaan sulit baginya. Namun Guek Neo menjelaskan kepada Molly bahawa proses pembuatan kasut manik adalah simbolik kegigihan, kesabaran dan ketenangan diperlukan dalam kehidupan berumah tangga,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Madeline berkata sepanjang dua hari pementasan teater muzikal itu, turut berlangsung pameran mini dan jualan kasut manik serta kebaya Baba Nyonya.
Jelas Madeline, teater arahan Ery Majid itu adalah kolaborasi antara MTA dan Pertubuhan Seni Kesidang Sari (PERSIDANG) selain turut mendapat kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka.
“Teater ini turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui bantuan Geran Sepadan Sektor Kebudayaan (GSSK) dan Kerajaan Negeri Melaka serta pelbagai pihak yang lain,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.