‘Mana lagi, Melaka Ler’, jadi fenomena

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BANDARAYA MELAKA 25 Julai – Slogan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), ‘Mana Lagi, Melaka Ler’ telah menjadi fenomena di seluruh negara.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, populariti itu, antara disumbangkan hasil laporan berita oleh pengamal media cetak dan elektronik di negeri ini yang sentiasa membantu kempen promosi dijalankan Kerajaan Negeri.

Justeru, Ab Rauf merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua agensi media terlibat dalam menjadi penghubung kepada segala inisiatif serta dasar dibawa Kerajaan Negeri.

“Terima kasih kerana membantu mempromosikan TMM2024 di peringkat domestik dan antarabangsa kerana hasilnya kita telah berjaya menarik 7.7 juta pelancong ke Melaka setakat separuh tahun pertama 2024.

“Kita amat berbangga kerana kempen yang dijalankan telah membuahkan hasil, bukan sahaja kepada negeri, bahkan turut membantu ekonomi rakyat.

“Malah, kita turut melancarkan ‘booster’ pelancongan seperti Melaka Bila Larut Malam yang mendapat sambutan cukup menggalakkan daripada pelancong, pengunjung dan rakyat Melaka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali Ke-5 Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA) di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Timbalannya Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Pengerusi PENDIKA Amir Mamat dan lain-lain kenamaan.

Img 20240725 024249 721
AB Rauf menerima cenderahati daripada PENDIKA selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali Ke-5 PENDIKA Tahun 2024. Foto Iqmal Haqim Rosman

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, sebagai pentadbir negeri, beliau akan terus berkarya untuk mewajah Melaka dalam pelbagai bidang seperti pelancongan, pelaburan, perindustrian dan pendidikan.

“Saya akan terus pastikan bahawa Negeri Melaka dan rakyatnya akan mendapat limpahan ekonomi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1095
Kongsi :
Previous post MAIM tambah baik tatacara agihan zakat
Next post Media perlu pertingkat ilmu teknologi digital masa kini
Ubah saiz-+=