Mampu capai 27 pingat tanpa ‘The Pocket Rocket Man’

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 24 September – Kontinjen negara di Sukan Asia Hangzhou 2023, yakin mampu mencapai sasaran 27 pingat ditetapkan meskipun tanpa kehadiran Datuk Azizulhasni Awang atau ‘The Pocket Rocket Man’.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim mengakui ketiadaan jaguh trek basikal negara itu amat dirasakan kontinjen negara namun tidak menjejaskan tumpuan atlet untuk merealisasikan hasrat yang diletakkan.

Adam Adli yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, menaruh keyakinan atlet negara masih mampu memberikan saingan kepada gergasi Asia seperti China dan Jepun selepas mereka menjalani latihan pusat sebelum ini.

“Insya-Allah persediaan sudah lama dilakukan cuma ada terkesan sikit apabila ketiadaan Azizulhasni kerana dia adalah prospek pingat utama. Kita doa dan harap satu pencapaian terbaik dapat dilakukan oleh atlet negara di Hangzhou.

“Justeru, kita masih yakin dengan capai sasaran 27 pingat yang diletakan,” katanya pada sidang media Program Pemimpin Bersama Masyarakat Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di Wisma PERKESO, Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Katanya, prestasi di Hangzhou akan menjadi ukuran penting untuk memilih atlet yang bakal membawa cabaran ke Sukan Olimpik Paris 2024 nanti.

Dalam pada itu beliau berkata, Kementerian Belia dan Sukan mengharapkan The Pocket Rocket Man dapat pulih daripada kecederaan yang dialami hingga memaksa dia menarik diri bertanding di Hangzhou.

Menurutnya, Azizulhasni menjadi sandaran utama negara untuk meraih pingat di Sukan Olimpik Paris nanti.

“Kecederaan beliau belum pulih dan harap dapat pulih segera kerana dia menjadi sandaran kilauan pingat di Paris,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4603
Kongsi :
Previous post Kekalkan keindahan Pantai Puteri
Next post SKSSR: Hadiah untuk suri rumah
Ubah saiz-+=