Mamee kekal relevan selepas 50 tahun
AYER KEROH 13 Februari – Mahu memastikan jenama dibina sejak 50 tahun lalu kekal relevan dan malar segar pemilik Mamee-Double Decker (M) Sdn Bhd akan meneruskan pelaburan khusus dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Pengarah Eksekutifnya, Datuk Gary Choo Kok Sen membina dan mengekalkan jenama adalah perkara paling utama dalam perniagaan kerana ia adalah unsur utama untuk menarik dan mengelakkan kesetiaan pelanggan kepada Mamee.
Tidak terlalu mengejar keuntungan semata-mata, Gary mahu kewujudan syarikat itu di memberikan manfaat kepada rakyat di Negeri Melaka, berikutan itu pihaknya aktif dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR), membantu mangsa bencana banjir, menyokong aktiviti persatuan dan meraikan anak-anak yatim.
“Sebab itu kami mampu capai keuntungan RM1.3 bilion setahun hanya untuk makanan ringan. Sebelum ini kami jual makanan ringan pada harga RM0.20, sekarang RM0.50, hanya ada kenaikan harga RM0.30.
“Setiap hari kilang kami mengeluarkan tiga juta peket makanan, operasi berjalan 24 jam bagi memastikan produk dihasilkan sentiasa mencukupi dan meluaskan lagi pasaran,” katanya.
Gary berkata, Mamee juga kerap menaja barangan makanan untuk program-program Kerajaan Negeri khususnya yang diadakan di Melaka atau luar negeri ini.
Sementara itu, katanya selaras dengan ‘tagline’ baharu ‘Fewer, Bigger, Better,’ Mamee mengeluarkan lima produk baharu berasaskan makanan ringan dan mi goreng, iaitu kimchi ramyeon, mi goreng rendang legenda, mister potato edisi terhad (musim perayaan), lontong dan laksa kari.
Menurutnya, pengenalan produk baharu itu juga amat penting dalam menyokong aktiviti penjenamaan dan pemasaran selain menawarkan lebih banyak pilihan kepada peminat makanan segera.
“Produk baharu kita ada lancarkan mi goreng rendang yang mana dutanya adalah artis popular Sheila Majid, setakat enam bulan pengeluaran mi ini, permintaan di pasaran sangat bagus.
“Mister potato adalah edisi terhad pula kita hasilkan setiap kali musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Krismas dengan perisa yang berbeza. Sudah pasti pelanggan berasa teruja untuk mencubanya, ini adalah fokus utama kami untuk pastikan Mamee sentiasa mendapat sambutan di pasaran biarpun sudah 50 tahun beroperasi,” katanya.
Namun, katanya, Mamee masih mengekalkan beberapa produk mendapat permintaan tinggi di pasaran seperti mamee monster, mamee premium, mamee chef dan mi cawan, mister potato, keropok double decker serta corntoz.
“Tidak boleh keluarkan terlalu banyak produk baharu. Jika produk yang ada terlalu banyak susah untuk pastikan pasarannya sentiasa mendapat permintaan. Kalau dalam enam bulan produk itu tidak diterima di pasaran, kita akan hentikan pengeluarannya,” katanya.
Berbalik kepada peranannya menyokong ekonomi Negeri Melaka dan penduduk tempatan Mamee turut melaksanakan program CSR dengan membantu 150 banduan kategori orang di parol (ODP) dari Penjara Pra Bebas Dusun Dato’ Murad mendapatkan pekerjaan sementara di syarikatnya.
Langkah itu diambil berikutan kekurangan kakitangan untuk menyokong aktiviti pengeluaran yang tinggi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sebelum ini.
“Jadi kami gaji individu berkenaan, mereka bekerka jam 8 pagi hingga 5 petang, setiap lima ODP dipantau oleh seorang pegawai dan mereka dibayar RM1,200 sebulan. Inisiatif ini membantu melancarkan pengeluaran produk di kilang kami dan kami masih mendapatkan khidmat ODP. Mereka ini pada kebiasaannya akan dibebaskan dalam tempoh enam hingga 12 bulan.
“Tidak dinafikan ada dalam kalangan kakitangan kami takut dengan kehadiran ODP ini, namun bagi saya kami perlu beri peluang kepada individu berkenaan. Benar mereka ini pernah melakukan kesilapan dalam hidup.
“Mereka (ODP) ini adalah pekerja yang paling berdisiplin dan tidak pernah ponteng, setiap hari sebelum datang kerja mesti mereka akan menjalani ujian COVID-19,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.