MAM sasar RM500,000 nilai jualan tahun 2022
BUKIT KATIL 3 Dis – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka menyasarkan nilai jualan sebanyak RM500,000 menerusi Melaka Agro Market (MAM) pada tahun 2022.
Exco Pertanian Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata sasaran itu dapat dicapai dengan mewujudkan sebanyak 50 MAM di setiap outlet-outlet FAMA pada tahun hadapan.
“MAM ini program untuk membantu rakyat lebih-lebih lagi dalam isu kenaikan barang hari ini yang begitu ketara justeru, kita jangkakan adakan di setiap daerah dalam Negeri Melaka.
“Selain daripada pasar tani pada masa yang sama kita dapat membantu rakyat untuk mengurangkan kos sara hidup. Hari ini kita dapat lihat dari segi harga begitu ketara, contohnya kangkung biasanya RM6…hari ini kita dapat dengan harga RM2 saja.
“InsyaAllah kita jangkakan program MAM ini akan diadakan di 50 lokasi yang strategik pada tahun 2022,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Program Jualan MAM di Kampung Tun Razak, hari ini.
Jelasnya, FAMA turut merekodkan sejumlah RM151,025 nilai jualan menerusi MAM bermula Oktober 2020 sehingga 31 Oktober 2021 yang lalu.
“Kita cadangkan lokasi baharu MAM di kawasan Bukit Katil Damai, Telok Mas, Dataran keris Alor Gajah, Pantai Tanjung Bidara, Kompleks Seri Negeri, Perkarangan Masjid Kesang Tua, Simpang Bekoh, Bukit Tempurung, Dataran 1Malaysia Klebang, Taman Botanikal dan Pusat Perniagaan Jelatang.
“Kita akan adakan setiap minggu cuma lokasinya berubah-ubah. Tapi macam hari ini akan kekal la setiap minggu. Walaupun dalam skala kecik tetapi kesannya amat besar kepada pengguna dari segi mengurangkan kos sara hidup,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.