
Malim jadi ‘port’ makan-makan baharu
KESIDANG 17 Jun – Satu ‘port’ makan-makan baharu bakal diwujudkan di kawasan Malim yang menghimpunkan kira-kira 500 penjaja di negeri ini.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron berkata lokasi itu terletak di Jalan Rahmat 4, Taman Malim Jaya yang akan diberikan nama ‘Malim Food Town’.
Katanya, kawasan berkenaan bakal dibangunkan sebagai tarikan pelancongan makan-makan yang mengetengahkan konsep peniaga berbilang kaum.
“MPHTJ telah ambil langkah awal dengan mengadakan lawatan tapak dan kita sudah siapkan pelan lokasi di mana akan buat tapak jualan makanan jenis ‘street food’ di sini.
“Buat masa ini penjaja sudah mula berniaga pada setiap hari Sabtu bermula jam 6 petang sehingga malam, untuk sementara ini kita sedang kumpulkan peniaga-peniaga Melayu India dan Cina berniaga di situ.
“Sekarang kita dalam proses menambah baik faktor pengcahayaan dari bulatan Malim sehingga ke lokasi gerai,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Sapiah, gerai yang dibina di tapak tersebut bakal dilengkapi bumbung sebagai nilai tambah untuk memberi keselesaan kepada aktiviti perniagaan yang dijalankan.
“Selepas Hari Raya Aidiladha ini kita akan mengadakan perbincangan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang Allex Seah Shoo Chin untuk membentangkan pelan yang telah dibuat.
“Penyediaan tapak berbumbung ini boleh dijadikan tempat parkir kenderaan pada siang hari dan dan bermula 6 petang, aktiviti perniagaan akan dimulakan.
“MPHTJ juga bakal melakukan pengindahan landskap, menambah baik sistem pencahayaan dan memasang papan tanda baharu di kawasan ini,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.