Malaysia yakin IPEF platform perkukuhkan kerjasama di Indo-Pasifik – Ismail Sabri

Masa Membaca:2 Minit, 38 Saat

TOKYO, 26 Mei (Bernama) — Malaysia yakin Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF), iaitu inisiatif perdagangan baharu yang turut dianggotainya akan menjadi satu platform untuk memperkukuhkan kerjasama ekonomi dengan negara di Indo-Pasifik dan rantau ASEAN, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri Malaysia itu pada Persidangan Antarabangsa ke-27 Mengenai Masa Depan Asia pada Khamis berkata IPEF menyediakan struktur kerjasama yang holistik bagi menyelesaikan isu perdagangan dengan negara rakan.

Ini memandangkan fokus dalam negara (Malaysia) tertumpu kepada usaha untuk memacu perkembangan industri yang strategik dan berimpak tinggi, ketahanan rantaian bekalan, standard ekonomi digital serta teknologi, katanya pada sesi soal jawab di persidangan itu.

“Malaysia bersedia untuk membincangkan isu-isu berkaitan melalui IPEF bagi memastikan rakan-rakan IPEF dapat mengoptimumkan manfaat ekonomi dan strategik seperti yang digariskan dalam kerangka tersebut,” kata Ismail Sabri sambil menambah sektor perubatan, elektrik dan elektronik serta ekonomi digital dijangka mendapat manfaat melalui inisiatif IPEF itu.

Presiden Amerika Syarikat Joe Biden melancarkan IPEF di Tokyo pada 23 Mei ketika melawat Jepun bagi pembabitan ekonomi AS yang lebih meluas dengan rantau Indo-Pasifik serta untuk mengukuhkan hubungan dengan Jepun.

Selain Amerika Syarikat dan Malaysia, IPEF turut menyaksikan penglibatan beberapa negara lain termasuk Jepun, Singapura, India dan Indonesia.

Menurut Ismail Sabri, Malaysia sejak sekian lama telah menyokong idea keterangkuman melalui integrasi ekonomi serantau dengan menandatangani perjanjian dua hala serta sehala dengan pelbagai pihak.

“Sebagai sebuah negara yang mempunyai kelebihan dari segi sumber dan juga bakat, Malaysia sentiasa mengambil peluang ini untuk memperluaskan liberalisasi perdagangan dan pelaburan sebagai agenda utama Malaysia,” katanya.

Beliau berkata setiap platform seperti Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan IPEF mempunyai kelebihan tersendiri yang memberikan manfaat kepada Malaysia dengan saling melengkapi dan akhirnya menyumbang kepada integrasi ekonomi serantau.

“Manfaat daripada setiap perjanjian adalah berbeza bagi sektor-sektor yang berlainan.

“Namun diakui bahawa berkemungkinan faedah yang lebih akan dinikmati oleh sesetengah pihak berbanding pihak yang lain bergantung kepada landskap ekonomi serta pihak-pihak yang terlibat dalam perjanjian tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata Malaysia dijangka meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) menjelang hujung tahun ini.

Beliau menambah dengan pelaksanaan CPTPP kelak serta RCEP yang telah dikuatkuasakan oleh Malaysia mulai 18 Mac 2022, ia akan membuka ruang yang akhirnya mampu merealisasikan inisiatif Lingkungan Perjanjian Bebas bagi Asia Pasifik (FTAAP).

Melalui CPTPP, Malaysia menjangkakan eksport barangan ke pasaran CPTPP bagi sektor seperti elektrik dan elektronik, peralatan optikal dan saintifik, alatan perubatan dan kimia akan meningkat.

“Ia mampu mengukuhkan keyakinan para pelabur serta menggalakkan lebih banyak pelaburan asing bukan sahaja dalam kalangan anggota tetapi juga negara bukan CPTPP kerana mereka mahu memanfaatkan konsesi tarif yang ditawarkan melalui perjanjian berkenaan,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata penghapusan dan pengurangan tarif bagi eksport dan import barangan antara negara-negara RCEP akan memudahkan lagi aliran perdagangan bagi produk serta perkhidmatan dalam kalangan negara ahli.

Ia juga akan meningkatkan lagi aktiviti perdagangan dan pelaburan inter dan intra-serantau, seterusnya mengukuhkan rantaian-rantaian nilai serantau, katanya.

Antara sektor yang dijangka memperoleh manfaat daripada perjanjian RCEP adalah perkhidmatan telekomunikasi, kewangan, komoditi yang antaranya produk berasaskan kelapa sawit, getah, kayu dan produk kayu seperti perabot.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

852
Kongsi :
Previous post Peserta halal Malaysia harus rebut peluang perniagaan di Belanda
Next post Pekerja ladang tinggal di rumah kongsi seakan ‘reban ayam’
Ubah saiz-+=