Malaysia ulangi sokongan padu terhadap Palestin
KUALA LUMPUR 12 Nov. – Malaysia kekal mendukung perjuangan rakyat Palestin dan menyokong usaha mencari penyelesaian damai yang berkekalan dan adil dalam kancah Israel-Palestin sejajar dengan undang-undang antarabangsa serta ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menerusi rundingan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhdyiddin Yassin ketika mencelah pada sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 berkata, penyelesaian tunggal yang kelihatan bagi isu Israel-Palestin adalah menerusi pembentukan dua negara berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.
Perdana Menteri mengetuai delegasi Malaysia pada sidang kemuncak yang diadakan secara maya, bermula Khamis hingga Ahad.
Sidang kemuncak itu dipengerusikan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc.
Muhyiddin turut mengutuk keras tindakan tidak bertanggungjawab individu atau kumpulan tertentu yang berselindung mempergunakan agama untuk mewajarkan tindakan jahat mereka melakukan keganasan.
Mengulas mengenai kebebasan bersuara, beliau berkata, meskipun penting untuk demokrasi, ia adalah alat yang perlu disuarakan dengan penuh tanggungjawab dan tidak boleh disalah guna bagi mewajarkan keganasan, mencetus kebencian dan memupuk faham kebencian terhadap Islam (Islamophobia).
Turut menyertai sidang kemuncak itu Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
ASEAN ditubuhkan pada 1967, merangkumi Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
— BERNAMA