Sorting by

×

Malaysia tangga ke-13 dalam senarai Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Kedudukan Malaysia di tangga ke-13 berbanding 115 pada Ogos tahun lepas dalam senarai terbaharu Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei menunjukkan negara kini berada di landasan yang tepat dalam menangani pandemik itu.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ini juga menunjukkan negara menuju situasi lebih baik dan semakin hampir kepada pemulihan dengan jumlah kes yang rendah, kadar vaksinasi lebih baik serta langkah penjarakan sosial lebih longgar.

Beliau berkata usaha baik ini mesti berterusan dan semua pihak tidak boleh cepat berpuas hati.

Hishammuddin juga berkata keutamaan kerajaan ketika ini ialah menurunkan lagi jumlah kes harian, meningkatkan kadar vaksinasi khususnya dos penggalak dan membawa negara ke Fasa Endemik.

“Ia bukan mudah namun kita berkemampuan untuk melaksanakannya,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Menteri-Menteri Kuartet COVID-19 di sini hari ini.

Beliau berkata perkara itu boleh dicapai dengan syarat semua pihak kekal berwaspada, terus mempunyai rasa tanggungjawab untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP), yakin dengan keberkesanan vaksin termasuk dos penggalak serta melakukan ujian pengesanan secara berkala selain mengamalkan TRIIS (uji, lapor, asing, maklum dan dapatkan) sebaik mungkin.

Hishammuddin turut merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua pihak terutama petugas barisan hadapan serta rakyat yang disifatkan sebagai cekal, tabah, kuat semangat dan berdisiplin dalam melaksanakan usaha menangani penularan COVID-19 termasuk mematuhi SOP ditetapkan kerajaan.

Berdasarkan Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei setakat 31 Dis 2021, Malaysia di tangga ke-13 dengan 66.5 mata manakala Bahrain menduduki tempat teratas dengan 82 mata diikuti Chile (76.5 mata) dan Taiwan (75.5 mata).

Kedudukan lebih tinggi sesebuah negara atau wilayah dalam indeks itu menunjukkan ia semakin hampir kepada pemulihan dengan jumlah kes COVID-19 yang rendah, kadar vaksinasi lebih baik dan langkah penjarakan sosial yang kurang ketat.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

502
Kongsi :
Previous post Individu palsu sijil vaksinasi COVID-19 perlu dikenakan hukuman maksimum – Hishamuddin
Next post Kes tipu tawaran kerja catat peningkatan 1,800 peratus, kerugian 1.2 juta
Ubah saiz-+=