Malaysia sedang kenal pasti ubat rawat denggi – Khairy

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

BANDA HILIR 5 Jun – Malaysia akan mengetuai beberapa negara lain bagi menjalankan kejadian untuk mengenal pasti ubat-ubatan yang boleh digunakan merawat denggi.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya baru sahaja selesai mengadakan memorandum persefahaman (MoU) dan ujian itu dijangka bermula dalam tempoh beberapa bulan.

Beliau berkata, MoU itu diadakan dibawah Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM) dan ujian itu nanti akan dijalankan di Malaysia dan sekiranya berjaya pesakit denggi tidak lagi berdepan dengan komplikasi yang teruk.

“Kita bersama Drug For Neglected Diseases Initiative (DNDI) sedang bekerjasama bersama beberapa negara lain seperti Brazil dan India untuk kita lihat kepada beberapa ubat-ubatan yang sebelum ini digunakan untuk penyakit lain sama ada boleh digunakan untuk merawat denggi.

“Malaysia akan mengetuai bersama Brazil, India dan beberapa negara membangun lain. Kita bagi tempoh antara enam hingga setahun untuk kita jalankan ujian klinikal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Agenda Nasional Malaysia Sihat (AMNS) dan Sambutan Hari Denggi Asean serta Gotong-Royong Mega 1.0 ‘Perangi Aedes’ Peringkat Kebangsaan yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, hari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada sidang media sempena Sambutan Hari Denggi Asean dan Gotong-Royong Mega 1.0 Peringkat Kebangsaan 2022 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Hadir sama EXCO Kesihatan Dr Muhamad Akmal Saleh dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) Dr Rusdi Abd Rahman.

Beliau berkata, sekiranya ujian klinikal itu berjaya, ia akan didaftar terlebih dahulu sebelum digunakan di hospital dan klinik di negara ini.

“Sekarang ini ubat-ubatan ini digunakan untuk penyakit lain, kalau ia berkesan kita akan bawa supaya boleh didaftar sebagai ubat-ubatan yang boleh digunakan untuk denggi.

“Kalau boleh digunakan untuk denggi dan didapati selamat serta berkesan maka kita akan gunakan di klinik dan hospital,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, bagi kanak-kanak berusia lima tahun ke atas yang terlepas suntikan vaksinasi dibawah PICKids yang berakhir pada 15 Mei lalu boleh mendapatkan suntikan itu pada program-program khas yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Secara umumnya kita sudah berhenti tetapi kalau ada kempen atau program yang khas kita masih lagi berikan (vaksin).

“Contohnya, pada 16 Jun nanti sempena sambutan Imuninasi Kebangsaan kita akan bagi kepada mereka yang sudah melepasi umur lima tahun, mungkin ada yang tercicir,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1158
Kongsi :
Previous post Hujan lebat, ribut petir diramal berlaku di Melaka petang ini
Next post MISDEC lakar sejarah anjur konvokesyen pertama selepas 28 tahun
Ubah saiz-+=