Malaysia sasar nilai eksport RM1.6 trilion tahun ini – MATRADE

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 2 Julai – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyasarkan jumlah eksport di negara ini mencapai nilai RM1.6 trilion menjelang akhir tahun 2024.

Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, sasaran itu meningkat berbanding RM1.427 trilion yang dicapai tahun lalu.

Menurut beliau, setakat lima bulan pertama tahun ini, jumlah eksport di negara ini menunjukkan peningkatan apabila sudah mencapai nilai RM606 bilion dan ia dijangka akan terus meningkat dalam merealisasikan sasaran tersebut.

“Alhamdulillah, Malaysia sudah mencapai sasaran RM1 trilion bagi tempoh tiga tahun berturut-turut dan tahun ini kita melihat ia akan terus melonjak hasil pelbagai usaha yang dilakukan, termasuklah mempromosikan MATRADE di peringkat akar umbi.

“Jadi melihat kepada prestasi lima bulan pertama, sebab itu saya berani katakan bahawa angka itu mampu dicapai, di mana sasaran RM1.6 trilion itu bukan sahaja merangkumi eksport barangan, bahkan perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Hari Eksport Melaka 2024 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di MITC, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Salhah Salleh; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka Berhad Datuk Ginie Lim Siew Lin; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Akselarasi Eksport) MATRADE Abu Bakar Yusof; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport) MATRADE Mansor Shah Wahid dan lain-lain kenamaan.

Menurut Reezal Merican, penganjuran Hari Eksport 2024 diadakan bertujuan untuk berkongsi perkembangan terkini pasaran antarabangsa, selain menambah baik strategi pengeksportan negara supaya tidak ketinggalan dengan arus perubahan dunia.

Katanya, program itu juga membuka minda kepada pemain industri eksport negara agar tidak hanya bergantung kepada negara ‘tradisional’ atau sedia ada untuk memasarkan produk, bahkan boleh meneroka negara-negara baharu.

“Seperti contoh Afrika yang dahulunya mempunyais ekitar 800 juta penduduk, namun kini meningkat kepada 1.4 bilion.

“Malah, tumpuan juga boleh diberikan kepada negara Asia tengah seperti Kazakhstan, Turkmenistan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan Uzbekistan yang mempunyai ramai umat Islam yang berpotensi untuk memasarkan produk-produk halal di sana,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

148
Kongsi :
Previous post MATRADE yakin Melaka miliki potensi besar
Next post Tujuh mengaku bersalah tawar pinjaman wang tanpa lesen
Ubah saiz-+=