Malaysia rugi RM277 bilion dalam tempoh lima tahun akibat rasuah
PUTRAJAYA, 7 Mei – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan bahawa negara kerugian RM277 bilion akibat jenayah rasuah dalam tempoh lima tahun lepas.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata kerugian itu berdasarkan anggaran kumulatif Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tempoh lima tahun iaitu dari 2018 hingga tahun lepas.
“Angka yang cukup besar ini sewajarnya boleh dimanfaatkan untuk membantu rakyat dalam pelbagai aspek terutamanya pelaksanaan projek sosial seperti baik pulih hospital dan sekolah, malangnya nilai ini tiris akibat jenayah rasuah,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dihadiri dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Justeru, Azam berkata, bagi memastikan strategi pembanterasan rasuah memberi impak, penggubalan NACS dilaksanakan dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan metodologi bagi mengenal pasti bidang yang terdedah kepada risiko terkini rasuah dalam negara.
Beliau berkata NACS menggariskan strategi penting dengan memberi penumpuan kepada peningkatan integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban merentasi pelbagai sektor di Malaysia termasuk politik, pentadbiran awam, perolehan kerajaan, penguatkuasaan undang-undang, institusi perundangan dan kehakiman, sektor swasta, serta orang ramai.
“Ia menggabungkan lima strategi dan 60 sub strategi untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun bermula tahun ini hingga 2028.
“Diharapkan pelaksanaan NACS ini menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh tata kelola baik negara bagi mencegah dan memerangi rasuah supaya agenda pembangunan negara ke arah Malaysia yang berintegriti dan bebas rasuah dapat terlaksana,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.