Malaysia rekod kadar pengangguran terendah sejak krisis COVID-19 pada Jun 2022

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Kadar pengangguran terus menunjukkan trend menurun kepada 3.8 peratus pada Jun 2022, terendah sejak pandemik COVID-19 melanda negara.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata bilangan penganggur berkurang kepada 630,600 orang berbanding 3.9 peratus atau 637,700 orang pada bulan Mei 2022.

Memetik Statistik Tenaga Buruh Malaysia Jun 2022 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Mustapa berkata negara telah mencapai guna tenaga penuh sejak bulan April 2022 iaitu kadar pengangguran di bawah 4.0 peratus berdasarkan definisi yang ditetapkan oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD).

Justeru katanya kedudukan tenaga buruh lebih stabil berikutan peningkatan dalam bilangan tenaga buruh dengan pertambahan 0.2 peratus kepada 16.57 juta orang berbanding 16.54 juta orang pada Mei 2022, dan menurutnya kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) bulan itu kekal pada 69.5 peratus.

“Pencapaian pasaran buruh pada Jun 2022 adalah selaras dengan aktiviti ekonomi semasa yang lebih kukuh susulan peralihan ke fasa endemik di seluruh negara. Permintaan terhadap buruh telah meningkat, sekali gus ini membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam pasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mustapa berkata beberapa petunjuk utama ekonomi juga menunjukkan prestasi menggalakkan, seperti jumlah pedagangan yang meningkat 43.4 peratus pada Jun 2022 kepada nilai tertinggi baharu RM270.4 bilion dengan eksport mencatat peningkatan 38.8 peratus kepada RM146.2 bilion.

Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) pula berkembang 12.1 peratus pada Jun 2022, tertinggi sejak Mei 2021, dengan semua komponen mencatat pertumbuhan positif.

Di samping itu menurutnya nilai jualan sektor pembuatan pada Jun 2022 meningkat 23.4 peratus, iaitu yang tertinggi sejak Mei 2021 dengan merekodkan nilai jualan RM153.5 bilion, dan pencapaian ini dipacu terutamanya oleh subsektor peralatan elektrik & elektronik yang meningkat 25.4 peratus.

Melihat kepada perkembangan ini, Mustapa yakin ekonomi negara akan terus berkembang tahun ini pada kadar yang disasarkan, iaitu di antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus.

“Trend jangka panjang kadar pengangguran negara adalah di sekitar 3.4 peratus (purata bagi tempoh 2011-2021).

“Dengan mengambil kira pelbagai petunjuk ekonomi utama yang menggambarkan momentum pemulihan yang lebih baik dan jangkaan lebih banyak peluang pekerjaan akan diwujudkan, kadar pengangguran dijangka akan bergerak ke trend jangka panjang,” katanya.

— BERNAMA

Views:

928
Kongsi :
Previous post Agong, Permaisuri ucap tahniah kepada Pearly Tan – Thinaah raih emas di Birmingham
Next post Melaka kutip hampir RM70,000 jualan di MAHA 2022
Ubah saiz-+=