Sorting by

×

Malaysia, Poland setuju terdapat bidang beropetensi untuk diterokai bersama

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar mengadakan kunjungan hormat ke atas rakan sejawatan beliau dari Poland, Marcin Przydacz di Warsaw pada 18 Feb.

Menurut kenyataan Kementerian Luar pada Ahad, kedua-dua pemimpin berbincang pelbagai perkara yang menyentuh mengenai hubungan dua hala antara Malaysia dan Poland terutamanya melibatkan sektor ekonomi, perdagangan, pelaburan, pengajian tinggi, pelancongan dan industri halal.

Kedua-dua pihak turut bersetuju bahawa terdapat banyak bidang berpotensi boleh diterokai secara bersama seperti keselamatan siber, pertanian dan teknologi hijau.

Pertemuan itu turut memberi peluang kedua-dua pihak berbincang berkaitan isu-isu serantau dan antarabangsa seperti peranan ASEAN dan Kesatuan Eropah, perkembangan terkini di Afghanistan, Myanmar, Palestin serta isu Laut China Selatan.

Kamarudin turut mengambil maklum perkongsian rakan sejawat beliau mengenai perkembangan semasa di Ukraine, tambah kenyataan itu lagi.

Di samping itu beliau berkesempatan bertemu Timbalan Marshal Dewan Senat Poland Gabriela Morawska-Stanecka pada 17 Feb.

Pada pertemuan itu, kedua-dua pihak bersetuju supaya hubungan di antara ahli-ahli Parlimen Malaysia dan Poland dapat dipertingkatkan bagi menggalakkan lagi pertukaran maklumat dan perbincangan mengenai pelbagai perkara yang berkepentingan bersama.

Malaysia dan Poland mempunyai hubungan dua hala yang akrab.

Nilai dagangan dua hala antara kedua-dua negara meningkat sebanyak 16.67 peratus pada tahun 2021 dengan jumlah dagangan sebanyak RM3.78 bilion.

Eksport Malaysia ke Poland bernilai RM2.77 bilion manakala jumlah import pula adalah RM1.01 bilion.

Malaysia merupakan rakan dagang kedua terbesar Poland dalam kalangan negara ASEAN.

Kedua-dua buah negara memeterai hubungan diplomatik pada 21 Jun 1971 dan menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada 2021.

Kamaruddin dalam rangka lawatan kerja ke Republik Czech, Austria, Poland dan Perancis bermula 13 hingga 23 Februari.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

443
Kongsi :
Previous post Hampir 30 rumah di Gemas rosak akibat ribut
Next post Khemah Klinik Kesihatan Jasin rosak diterbangkan ribut
Ubah saiz-+=