Malaysia, Poland sambut 50 tahun hubungan diplomatik
KUALA LUMPUR 22 Jun – Malaysia dan Poland menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara pada Isnin.
Sempena meraikan ulang tahun itu, Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan rakan sejawatannya, Zbigniew Rau saling bertukar perutusan tahniah, dan dimuat naik oleh Kedutaan Poland di Malaysia di akaun Twitter rasminya.
Dalam perutusan itu, Hishammuddin berkata sepanjang dua abad lalu hubungan dua hala kedua-dua negara telah berkembang stabil dan hari ini, Malaysia-Poland menikmati kerjasama yang semakin luas antaranya dalam perdagangan, pelaburan, pertukaran budaya dan pelancongan.
Beliau berkata peningkatan ketara penuntut Malaysia yang menyambung pengajian di universiti di Poland membuktikan kerjasama erat dalam bidang pendidikan dan hubungan antara rakyat.
“Menjadi harapan saya untuk terus berusaha mempererat hubungan agar masyarakat kita terus mendapat manfaat daripada kemajuan dan kemakmuran,” katanya.
Hishammuddin mengakui Malaysia dan Poland sedang bekerjasama rapat untuk mempromosikan kepentingan bersama dalam pelbagai platform, sama ada di peringkat antarabangsa atau serantau, termasuk di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, ASEAN dan Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM).
“Kerjasama multilateral yang lebih erat perlu untuk menangani masalah dalam pelbagai aspek dan dimensi, terutama memerangi pandemik COVID-19,” katanya.
Sementara itu, Rau dalam ucapannya mengakui Malaysia antara rakan kongsi utama dan prospektif Poland di Asia Tenggara telah menyaksikan perkembangan dinamik serta peningkatan pertukaran perdagangan bersama yang berterusan.
“Saya percaya bahawa asas yang kukuh ini akan membangunkan hubungan lebih erat antara negara kita serta peningkatan kerjasama dalam bidang ekonomi, politik, budaya dan saintifik,” katanya
Di peringkat rakyat, Rau gembira kerana lebih ramai penuntut Malaysia memilih untuk menyambung pengajian di Poland.
“Sangat jelas bahawa dalam kalangan “barisan hadapan” Malaysia yang memerangi pandemik COVID-19, lebih 1,000 daripadanya telah menjalani pengajian perubatan mereka di Poland,” katanya sambil menambah beliau yakin persahabatan kedua-dua negara akan terus kukuh.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.