Sorting by

×

Malaysia perlu tangani isu penduduk menua, kekurangan dana persaraan- pakar

Masa Membaca:6 Minit, 32 Saat

SURUHANJAYA Sekuriti (SC) berkongsi kebimbangan akan keperluan bagi kerajaan dan pihak berkuasa untuk menangani isu penduduk menua negara ditambah dengan pengurangan dalam dana persaraan.

Pelan Induk Pasaran Modal Suruhanjaya Sekuriti 3 (CMP3) yang dilancarkan pada 21 September, 2021, menunjukkan bahawa isu penduduk menua di negara ini merupakan satu masalah membimbangkan dan jika tidak ditangani akan menjadi satu masalah sosial yang serius.

GAJI RENDAH DI MALAYSIA SATU KEBIMBANGAN

Pengerusi Institut bagi Penyelidikan Pasaran Modal (ICMR) Tan Sri Dr Munir Majid berkata Malaysia akan berubah daripada negara menua kepada negara tua dalam masa hanya kurang daripada 25 tahun, sedangkan Perancis mengambil masa 115 tahun, Sweden 85 tahun dan United Kingdom 45 tahun untuk mencapai tahap itu.

Tidak seperti Malaysia, negara-negara tersebut mempunyai masa yang mencukupi untuk membangun dan bersiap sedia dengan peningkatan kecekapan per kapita dan beransur-ansur menaikkan usia persaraan.

Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid. Foto-NSTP

“Meskipun begitu, mereka tetap bergelut dan apatah lagi Malaysia, sekiranya kita tidak menangani perkara ini dengan segera.

“Kita mempunyai perlindungan persaraan yang rendah, tidak mencukupi serta cabaran kemampanan yang diburukkan lagi oleh pandemik COVID-19, dengan kemudahan pengeluaran daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang membolehkan bantuan jangka pendek, dengan kesan jangka panjang yang menjejaskan,” katanya.

Beliau berkata, mengenai kecukupan, sehingga Jun 2021, 6.3 juta orang mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam Akaun 1 KWSP mereka.

“Satu daripada penyebab kepada kekurangan kecukupan ini adalah gaji yang rendah di Malaysia.

“Malahan sebelum pandemik, Bank Negara Malaysia (BNM) menekankan bahawa pendapatan yang diterima pekerja Malaysia tidak setanding dengan nilai output yang mereka hasilkan,” katanya.

Munir menambah sehingga 27 peratus daripada isi rumah di Lembah Klang, misalnya, berpendapatan di bawah ‘gaji yang sepatutnya’.

Turut bersetuju dengan Munir, Felo terkemuka Asia Global Institute, Universiti Hong Kong, Tan Sri Andrew Sheng berpendapat bahawa masalah dengan masyarakat yang semakin menua ialah dana persaraan tidak pernah cukup untuk masa depan mereka kerana jangka hayat menjadi semakin panjang.

Di samping itu, generasi muda juga turut bergantung kewangan daripada ibu bapa mereka.

“Malaysia sebenarnya mempunyai sistem KWSP yang baik dan penjawat awam mempunyai skim pencen yang sangat baik tetapi masalah sebenarnya terletak pada mereka yang tidak termasuk dalam kedua-dua kategori itu,” katanya.

Sheng juga berkata ada pelbagai pilihan oleh kerajaan, seperti dana pencen swasta dengan insentif cukai, tetapi mereka yang berpendapatan rendah tidak mampu mencarum dengan lebih tinggi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Perancang Kewangan Malaysia (FPAM), Linnet Lee berkata jika Malaysia meneruskan trajektori ini tanpa intervensi, kebajikan sosial kerajaan mungkin terbeban dari segi kewangan dan akan mempengaruhi kualiti sokongan dan penjagaan.

Memetik kajian yang dijalankan oleh Universiti Sains Islam Malaysia mengenai kesan penduduk menua di Malaysia, Lee berkata kenaikan 10 peratus pada penduduk berusia 60 tahun dan ke atas menyebabkan kejatuhan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita sebanyak 5.7 peratus .

“Dapatan itu juga menunjukkan bahawa penurunan penglibatan tenaga kerja dan produktiviti disebabkan oleh pertambahan penduduk menua dan kemerosotan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

SARANAN LEBIH BANYAK MENCARUM KE DALAM KWSP DAN PRS

Lee mencadangkan orang ramai untuk meningkatkan caruman ke dalam KWSP dan memulakan simpanan persaraan swasta seperti Skim Persaraan Swasta (PRS).

Beliau berkata, rakyat Malaysia boleh meminta pertolongan daripada pelbagai entiti seperti perancang kewangan berlesen, wakil penasihat kewangan, perunding PRS atau jika kosnya menjadi masalah, penasihat robo akan menjadi alternatif yang lebih berpatutan.

Penasihat robo adalah platform digital yang membolehkan pelaburan dilakukan secara automatik mengikut algoritma ditentukan.

Gambar hiasan.

“Entiti ini bukan sahaja akan merancang bukan sahaja mengenai persaraan anda tetapi ia juga membantu mengutamakan matlamat kehidupan menggunakan produk kewangan yang sesuai.

“Perunding PRS, perunding unit amanah atau ejen yang terikat dapat mengesyorkan produk yang sesuai untuk persaraan anda bergantung pada apa yang dibenarkan oleh prinsipalnya, mereka boleh memberi tumpuan kepada satu produk atau produk lain yang berkaitan,” katanya.

Mengenai alat pelaburan yang disebutkan di atas, Lee berkata, sebilangan rakyat Malaysia memilih untuk memiliki beberapa hartanah untuk memberikan pendapatan pasif manakala yang lain mungkin melabur dalam saham dan bon.

Beliau berkata, rakyat Malaysia sendiri juga mesti mempunyai kemahiran dalam menguruskan kewangan mereka sebelum dan semasa bersara.

PENTING UNTUK WUJUDKAN EKOSISTEM YANG WAJAR

Munir berkata, ia bukan hanya mengenai masalah penuaan penduduk dan dana persaraan yang tidak mencukupi tetapi keseluruhan ekosistem juga perlu ditangani.

“Ini harus ditangani dengan cepat dan secara holistik untuk memasukkan juga sistem penjagaan kesihatan kerana kos kesihatan akan menggunakan banyak duit persaraan kerana penduduk mempunyai jangka hayat yang lebih lama.

Walaupun kerajaan sudahpun membentuk satu jawatankuasa untuk melihat kepada masalah persaraan, dengan pembabitan para pegawai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), namun ia tidak memiliki keterangkuman untuk pendekatan holistik yang diperlukan, katanya.

Beliau berpendapat sektor swasta dan institusi penyelidikan seperti ICMR harus dilibatkan pada peringkat awal lagi, “ini akan membantu memastikan penyelesaian masyarakat secara keseluruhan, yang akan merangkumi isu gaji rendah, pengangguran dan penurunan upah, khususnya ke atas mereka dalam kumpulan usia 20 hingga 29 tahun.

Untuk menangani masalah struktur dengan serius, pembuat dasar perlu menilai keseluruhan sistem persaraan secara holistik, kata Munir.

“Mereka harus menangani isu gaji rendah, pengangguran dan kekurangan liputan, selain daripada itu, mereka perlu mempertimbangkan perubahan dalam demografi, trend sosial termasuk masa depan pekerjaan.

“Sistem persaraan sekarang dirancang pada era kolonial dan berdasarkan konsep tradisional mengenai pekerjaan jangka panjang yang stabil dengan satu aliran pendapatan, manakala, majikan pula memberikan faedah jaminan sosial,” tambahnya.

Perubahan mesti datang dengan peralihan dalam landskap ekonomi serta sosial, katanya.

“Sistem persaraan yang lebih holistik akan dapat dihubungkan dengan semua bentuk pendapatan (berbanding dengan pekerjaan saja), baik melalui pekerjaan formal, pekerjaan tidak formal/bekerja sendiri atau gabungan keduanya.

“Kajian semula sistem pencen adalah tugas yang sukar (dan kita belum lagi berbicara mengenai skim persaraan sektor awam yang mempunyai pelbagai masalah yang turut membebankan belanjawan negara).

“Perlu dirangkumkan kos yang besar daripada berbagai pihak yang berkepentingan, termasuk kementerian, pengawal selia, agensi kerajaan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, persatuan perdagangan dan kesatuan, serta sektor swasta yang lebih meluas,” katanya.

DAN PENDAPATAN TINGGI

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maybank Kim Eng Ami Moris, peneraju pasaran modal perlu memastikan kerja-kerja diteruskan dengan pekerja dan pelanggan untuk memastikan bahawa mereka memahami impak mula menyimpan awal dan kerap.

“Bagaimanapun, ia bukan mudah. Malaysia mempunyai banyak kelebihan untuk merapatkan jurang tersebut, iaitu tenaga kerja yang bersedia; infrastruktur KWSP yang cekap dan produktif serta pilihan dalam produk dan platform pelaburan,” katanya.

Beliau berkata terdapat keperluan untuk memastikan semua majikan dan pekerja menyelaraskan infrastruktur teras dan menggunakan banyak pilihan lain yang boleh didapati untuk terus menyimpan bagi persaraan.

Selain itu, Ami berkata kerajaan juga boleh menggalakkan lebih banyak simpanan untuk merapatkan jurang tersebut melalui sumbangan secara sukarela.

“Misalnya, perluas pelepasan cukai untuk sumbangan Skim Persaraan Swasta atau dengan memperkenalkan dasar sumbangan statutori oleh individu yang bekerja sendiri atau pekerja gig dan program celik persaraan,” katanya.

Dalam jangka masa panjang, beliau yakin mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi dan meningkatkan tahap pendapatan untuk semua rakyat Malaysia akan meningkatkan simpanan.

Pada masa sama, katanya dengan tambahan RM45 bilion untuk Dana COVID-19 bagi 2022, akan terdapat sistem sokongan dan jaringan keselamatan yang berterusan termasuk pemberian tunai, bantuan kebajikan dan subsidi upah untuk isi rumah dan individu yang terjejas teruk akibat COVID-19 untuk mengurangkan impak ekonomi, dalam tempoh terdekat.

Sebaliknya, Ketua Pegawai Eksekutif Minority Shareholder Watchdog Group Devaneson Evanson berkata pendekatan itu perlu menjadi tanggungjawab bersama antara negara dan individu apabila negara akan berusaha untuk merapatkan jurang yang luas ini melalui pelbagai dasar manakala individu perlu cukup berdisiplin untuk menyimpan dan menangguhkan kepuasan sementara untuk sesuatu yang lebih baik.

“Cabaran utama yang akan dihadapi oleh dana pencen dalam tempoh terdekat ialah mendapatkan hasil yang lebih tinggi dan peningkatan modal dalam pelaburan mereka.

“Mereka perlu bersedia untuk beralih ke peringkat global untuk mendapatkan hasil dan keuntungan modal yang lebih tinggi selain mengetahui mengenai minat risiko mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

930
Kongsi :
Previous post Dakwaan pelajar maut selepas divaksin: Polis selesai rakam percakapan suspek
Next post Kongsi idea Belanjawan 2022 Negeri Melaka
Ubah saiz-+=