Sorting by

×

Malaysia Madani jadi konsep baharu pupuk perpaduan

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BANDA HILIR 16 Januari – Kementerian Perpaduan Negara bakal memperluas program-program yang menyokong konsep Malaysia Madani seperti diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, konsep baharu itu bertujuan membentuk masyarakat bertamadun pada masa hadapan, selain ia juga dijangka bakal menjadi slogan baharu Kerajaan Perpaduan.

Katanya, sebagai antara kementerian bertanggungjawab, pihaknya bakal merangka pelbagai program demi menyokong konsep berkenaan agar ia menjadi panduan di setiap lapisan masyarakat.

“Oleh yang demikian, kita di pihak kementerian telah mengadakan lawatan ke negeri-negeri bagi mempromosikan program baharu yang perlu diterjemah oleh masyarakat dan negara kita iaitu Malaysia Madani.

“Ini merupakan program yang mahu diterjemah Perdana Menteri ke arah ‘civilize society’, menyokong ‘freedom of speech’ dan memupuk perpaduan.

“Ini juga merupakan norma baharu masyarakat masa depan yang ideal, menghormati satu sama lain, dapat bergaul dan bekerjasama walaupun berbeza bangsa, agama atau budaya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan dan Amanat Menteri Perpaduan Negara bersama warga Kementerian dan Agensi Negeri Melaka Tahun 2023 dan lawatan ke Muzium Seni Bina Malaysia, Jalan Kota, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Indera Noridah Abdul Rahim; Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) Datuk Akramuddin Ab Aziz serta Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Melaka Intan Suhana Yusuff.

Mengulas lanjut, Aaron mengakui tanggungjawab besar akan digalas kementeriannya dalam menyatukan seluruh lapisan masyarakat ke arah konsep masyarakat madani.

Meskipun begitu, beliau optimis kerjasama semua pihak dalam menjayakan perancangan dan program yang bakal dirangka nanti dapat membantu merealisasikan hasrat tersebut.

“Kita akui masyarakat di negara ini berdepan beberapa isu seperti isu perkauman dan sebagainya.

“Jadi, kita harap dengan konsep yang akan diterapkan ini, ia dapat membantu masyarakat hidup aman damai dan tiada rusuhan kerana itulah termaktub dalam prinsip Malaysia Madani,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2028
Kongsi :
Previous post Pekerja kedai makan maut, motosikal rempuh Myvi
Next post STR fasa satu dikreditkan kepada 8.7 juta golongan B40 mulai esok – PM
Ubah saiz-+=