MALAYSIA IKTIRAF SUKAN ‘RENANG SIRIP’
PAYA RUMPUT 4 Oktober – Sukan renang sirip atau ‘finswimming’ diiktiraf Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai antara sukan yang dijadualkan di negara ini.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim berkata, walaupun sukan itu belum popular dalam temasya sukan yang besar, namun ia sudah mula diterima dan dipertandingkan di peringkat Asia Tenggara seperti Sukan Sea dan di peringkat kebangsaan.
Justeru, beliau bersama KBS akan terus memberikan sokongan terhadap sebarang usaha untuk pembangunan sukan tersebut, khususnya di peringkat akar umbi.
“Kita akui antara cabaran sukan finswimming ini adalah ia belum dipertandingkan di peringkat lebih tinggi dan perjalanannya juga masih jauh.
“Tetapi apabila kita melihat sudah ada pembangunan akar umbi seperti ini, selain sokongan padu yang diterima di peringkat komuniti, saya percaya lama kelamaan sukan ini akan lebih diiktiraf di peringkat dunia.
“Kita sangat berharap untuk melihat sukan ini akan dipertandingkan di temasya lebih besar pada masa hadapan dan diharap bakat-bakat yang dilatih sejak kecil ini dapat pergi lebih jauh selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mengadakan lawatan ke tempat latihan Finswimming Melaka di Pusat Akuatik Hang Jebat, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Setiausaha Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Ahmad Azlan Ahmad Salleh dan Presiden Finswimming Melaka merangkap pengasas dan Ketua Jurulatih PGSC Mohd Azwim Kamarulzaman.
Menurut Adam Adli, KBS akan terus memberi sokongan dan membenarkan atlet-atlet finswimming menyertai pertandingan-pertandingan yang dianjurkan sama ada di peringkat kebangsaan, mahupun antarabangsa.
Beliau turut menggalakkan persatuan mahupun kelab berkaitan finswimming di negara ini untuk memohon dana atau geran yang telah disediakan KBS dalam usaha untuk terus mengangkat sukan itu ke satu tahap lebih tinggi.
“Di KBS, kita mempunyai Dana Sukan Komuniti dan Geran Padanan Sukan yang disediakan dalam memberi sokongan kepada pembangunan sukan akar umbi.
“Kita harap ramai yang dapat memanfaatkan insentif yang disediakan kerajaan dalam menganjurkan lebih banyak kejohanan yang dapat membantu menaikkan nama sukan itu sendiri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.