Sorting by

×

Malaysia hilang dua tonggak pertahanan berdepan Indonesia

Masa Membaca:2 Minit, 13 Saat

KUALA LUMPUR, 14 Dis – Malaysia menerima tamparan apabila kehilangan khidmat ketua pasukan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak dan Shahrul Mohd Saad bagi aksi menentang Indonesia pada perlawanan terakhir Kumpulan B Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020.

Perkembangan itu dimaklumkan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe sambil mengharapkan pemain berdarah kacukan Dion Cools yang dijangka menyertai pasukan di Singapura, Khamis ini serta Dominic Tan, yang menjadi pilihan mengisi dua kekosongan di bahagian pertahanan dapat menggalas tanggungjawab dengan baik.

“Memang kita rasa kehilangan Aidil dan Shahrul memberi kesan yang besar kepada pasukan kerana mereka sudah jadi tonggak pertahanan skuad kebangsaan dalam beberapa aksi kebelakangan ini. Sudah tentu (kini) kita harapkan Dion (Cools) dan Dominic dapat hasilkan kombinasi yang baik.

“Kita harap Cools memang bagi ‘cool’ kepada pasukan, dengan pengalaman beliau kita nampak boleh bantu pasukan di setiap sudut tapi dalam keadaan kita kehilangan ramai pemain, saya harap sesiapa diturunkan bersedia dengan apa situasi sekalipun,” katanya pada sidang media skuad kebangsaan secara maya di Singapura, hari ini.

Malaysia dijadual menentang Indonesia dalam perlawanan dianggap sebagai ‘hidup mati’ dalam misi kedua-dua pasukan layak ke peringkat separuh akhir di Stadium Nasional Singapura, Ahad ini.

Cheng Hoe pada masa sama tidak bimbang menghadapi cabaran skuad Garuda yang kini menerajui saingan kumpulan tanpa Mohamad Aidil dan Shahrul yang dijangka memerlukan tempoh seminggu paling lama untuk kembali pulih.

“Dalam bola sepak kita percaya pemain yang kita bawa dan kita harus beri keyakinan kepada mereka, kalau kita selalu menunjukkan kebimbangan di luar dan dalam padang sudah tentu ia akan terbawa-bawa dalam perlawanan,” kata pengendali berusia 53 tahun itu.

Namun, beliau berharap dapat menurunkan pemain sayap Muhammad Faisal Abdul Halim yang kembali menyertai pasukan selepas bebas daripada jangkitan COVID-19 bagi aksi menentang Indonesia jika kecergasan pemain Terengganu FC itu berada pada tahap terbaik.

Sementara itu, mengulas mengenai pasukan Indonesia, Cheng Hoe mengakui skuad Garuda itu telah melalui perubahan taktikal permainan yang positif di bawah kendalian jurulatih dari Korea Selatan Shin Tae-yong selain memiliki beberapa pemain muda berpotensi.

“Tae-yong telah bawa generasi baharu untuk skuad mereka, pemain lebih muda dan bertenaga, kita dapat lihat kelajuan setiap pemain dan kita berharap tidak terperangkap dalam gerakan mereka. Dari segi persiapan juga mereka melalui fasa persediaan terbaik.

“Kalau kita lihat dalam dua perlawanan awal mereka nampak begitu bertenaga serta semangat dan mereka boleh mencipta banyak peluang menjaringkan gol, jadi kita kena berwaspada terhadap serangan-serangan mereka,” kata Cheng Hoe.

Selepas tiga aksi, skuad kebangsaan kini di kedudukan ketiga, berkongsi enam mata bersama Indonesia dan Vietnam yang masing-masing bermain kurang satu perlawanan, manakala Kemboja dan Laos di tempat tercorot tanpa sebarang mata.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

837
Kongsi :
Previous post Varian Omicron : WHO jangka peningkatan kemasukan ke hospital, kematian
Next post Jang Suk-Won ucap selamat tinggal
Ubah saiz-+=