Malaysia buka jalan raih semula bahagian pasaran di EU: Zuraida
KUALA LUMPUR, 6 Mei – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan mengambil peluang akibat ketegangan politik di Eropah dan kekurangan minyak masak untuk mempromosikan minyak sawit Malaysia, sekali gus membuka jalan bagi komoditi ini mendapatkan semula bahagian pasarannya terutamanya di Kesatuan Eropah (EU).
Menteri berkenaan Datuk Zuraida Kamaruddin berkata konflik di Ukraine sejak 24 Feb lepas telah menjejaskan bekalan global minyak sayuran yang ketara kerana ketidaktentuan eksport melalui Laut Hitam yang mengakibatkan harga minyak sayuran/masak menjadi lebih tinggi.
“Konflik Rusia-Ukraine ini telah menyebabkan kekurangan minyak bunga matahari dan minyak biji sesawi kerana kedua-dua negara menyumbang 80 peratus daripada eksport global.
“KPPK percaya ketegangan di Laut Hitam akan memberi impak positif kepada industri minyak sawit Malaysia berikutan banyak negara Eropah yang bergantung kepada minyak bunga matahari, kini sedang beralih kepada minyak sawit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zuraida berkata Ukraine dan Rusia sedang memasuki masa kritikal untuk penanaman bunga matahari yang sepatutnya bermula pada April, bagaimanapun, perang yang berpanjangan boleh memberi kesan kepada musim penanaman ini.
Eksport minyak bunga matahari dari Ukraine dan Rusia menyumbang 10 peratus daripada semua eksport minyak masak global, katanya.
Beliau berkata penganalisis pasaran kini menjangkakan peningkatan permintaan minyak sawit dari rantau EU dalam masa terdekat memandangkan kuantiti eksport kacang soya yang lebih rendah dari Brazil, Paraguay, Rusia dan Ukraine serta pengurangan minyak bunga matahari dari Rusia, Kazakhstan dan Ukraine.
Menurutnya selain langkah terbaru Indonesia selaku pengeksport minyak sawit terbesar dunia untuk meluaskan skop larangan eksport bahan mentah bagi minyak masak termasuk minyak sawit mentah dan ditapis, harga global minyak sayuran berkemungkinan kekal tinggi untuk separuh pertama 2022.
“Saya percaya inilah masanya untuk minyak sawit mendapatkan semula keyakinan daripada pembeli Eropah walaupun komoditi ini telah menerima publisiti yang kurang baik sebelum ini,” katanya.
Menurut Zuraida, beliau telah mengarahkan agensi berkaitan di bawah KPPK seperti Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk melaksanakan kempen yang agresif untuk komoditi ini supaya dapat mengisi jurang di pasaran global.
Katanya agensi-agensi ini dengan kerjasama KPPK perlu memastikan minyak sawit Malaysia kekal sebagai pilihan utama di pasaran global untuk jangka panjang, terutamanya kepada pengguna yang sebelum ini telah terdedah kepada propaganda negatif.
“Sudah tiba masanya untuk kita meningkatkan usaha menentang propaganda yang memburukkan kredibiliti minyak sawit dan perlu mempamerkan pelbagai manfaat kesihatan minyak emas ini,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.