Sorting by

×

Malaysia berdepan gelombang ketiga lebih mencabar – PM

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

KUALA LUMPUR 12 Mei – Malaysia berdepan dengan gelombang ketiga COVID-19 yang lebih mencabar susulan kemunculan beberapa varian baharu yang meningkatkan kadar kebolehjangkitan wabak itu di negara ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata negara mencatatkan trend peningkatan kes yang mendadak sejak beberapa minggu lepas dengan kes positif COVID-19 mencecah lebih 4,000 kes sehari sejak beberapa hari lalu.

Lebih membimbangkan, katanya, terdapat varian baharu COVID-19 di Malaysia yang lebih ganas seperti yang dialami di India, United Kingdom, Brazil, Afrika Selatan dan beberapa negara lain.

Perdana Menteri menjangkakan jumlah kes harian COVID-19 akan mencecah lima angka dalam tempoh beberapa minggu akan datang jika penularan varian baharu itu tidak disekat.

“Pada masa itu, seluruh sistem kesihatan negara kita yang sedang berada dalam keadaan yang kritikal pada masa ini akan lumpuh sepertimana yang berlaku di negara lain, pesakit mati bergelimpangan di jalan raya kerana hospital tidak lagi mempunyai kemampuan untuk menerima pesakit,” katanya dalam rakaman perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri yang disiarkan di stesen televisyen tempatan, malam ini.

Muhyiddin berkata kerajaan boleh menambah jumlah katil, bekalan oksigen dan ventilator memandangkan ketika ini hospital dalam negara hampir mencapai kapasiti maksimum dengan katil wad Unit Rawatan Rapi (ICU) semakin penuh.

Bagaimanapun, beliau berkata sebanyak mana katil dan lain-lain kelengkapan perubatan yang disediakan sekalipun tidak akan mampu menampung jumlah pesakit sekiranya kes positif meningkat dengan mendadak.

Muhyiddin berkata kawasan yang dahulunya dikategorikan sebagai zon hijau kian bertukar menjadi kuning dan seterusnya merah.

“Kerajaan pada mulanya mengambil tindakan secara bersasar untuk mengekang penularan virus dalam komuniti. Kita laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa negeri dan daerah. Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) juga dilaksanakan di beberapa kawasan,” katanya.

Namun, katanya dalam tempoh beberapa minggu hampir semua kawasan di negara bertukar menjadi zon merah berikutan virus itu menular dengan cepat, dengan hampir 70 peratus kes jangkitan berlaku secara sporadik iaitu penularan dalam komuniti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

277
Kongsi :
Previous post Menyorok dalam but kereta kerana mahu beraya dengan suami, wanita Indonesia ditahan di SJR
Next post Norma baharu Aidilfitri untuk perangi COVID – Agong
Ubah saiz-+=