Malaysia akan pastikan Sukan SEA 2027 berjalan lancar – PM
HANOI, 12 Mei – Malaysia akan memastikan penganjuran Sukan SEA 2027 berjalan dengan lancar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Jaminan tersebut diberikan Perdana Menteri selepas Malaysia diumum selaku tuan rumah bagi edisi ke-34 temasya dwitahunan itu, hari ini.
“Khabar gembira buat negara, Malaysia dipilih sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027.
“Ini merupakan kali ketujuh kita menjadi tuan rumah dan pastinya banyak persiapan perlu dilakukan untuk memastikan kelancaran temasya dwitahunan ini,” katanya menerusi ciapan di Twitter beliau hari ini.
Mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) pagi tadi, sebulat suara bersetuju untuk memilih Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027.
Malaysia sebelum ini pernah menjadi tuan rumah temasya itu buat kali pertama pada 1965 ketika temasya tersebut dikenali sebagai Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP), diikuti 1972, 1977, 1989, 2001 dan 2017.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, yang berada di Hanoi, berkata pihaknya akan membuat janji temu untuk memaklumkan secara rasmi perkara itu kepada Perdana Menteri serta Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu apabila kembali ke Malaysia.
Kemboja dijadual menjadi tuan rumah buat julung kalinya tahun depan bermula dari 5 hingga 16 Mei manakala Thailand pula bakal menjadi penganjur pada edisi 2025.
Sukan SEA ke-31 sedang berlangsung di Hanoi, Vietnam dari 12 hingga 23 Mei.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.