Malaysia akan keluar nota bantahan kepada China, bantah ceroboh ruang udara negara
KUALA LUMPUR 2 Jun – Kementerian Luar akan mengeluarkan nota diplomatik kepada kerajaan China bagi membantah pencerobohan pesawat tentera udara China yang memasuki ruang udara Malaysia.
Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam kenyataan malam tadi berkata, kementerian juga akan memanggil Duta Besar China ke Malaysia untuk memberi penjelasan berhubung pelanggaran ruang udara dan kedaulatan Malaysia oleh 16 pesawat milik Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF).
“Pendirian Malaysia jelas – mempunyai hubungan diplomatik yang mesra dengan mana-mana negara tidak bermakna kami akan berkompromi dengan keselamatan negara kita. Malaysia tetap teguh mempertahankan maruah dan kedaulatan kita,” katanya.
Hishammuddin juga berkata beliau akan menyampaikan kebimbangan serius Malaysia mengenai perkara itu kepada rakan sejawatnya di China.
Terdahulu Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad dalam satu kenyataan berkata, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Ahad, mengesan 16 pesawat PLAAF memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM), Kota Kinabalu Flight Information Region (FIR) dan menghampiri ruang udara nasional.
Beliau berkata penerbangan mencurigakan pesawat PLAAF itu dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM dari Pusat Pertahanan Udara di Sarawak pada 11.53 pagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.