Malaysia Airlines rakan penerbangan rasmi Liga-M 2022
Selain itu, kenyataan itu memaklumkan lanjutan daripada komitmennya sebagai rakan penerbangan rasmi untuk MFL, MAG pula akan memanfaatkan rangkaian organisasi mereka menerusi pelaksanaan kempen, penjenamaan serta acara bersama dengan Firefly, MASwings, MHholidays dan Enrich.
MoU itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif MFL Stuart Ramalingam dan Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Kumpulan Malaysia Airlines Berhad (MAB) Lau Yin May.
Presiden MFL Datuk Ab Ghani Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG Izham Ismail turut hadir menyaksikan pemeteraian perjanjian itu.
Stuart berkata perkongsian MFL dengan MAB melambangkan kedua-dua jenama bersatu untuk meningkatkan taraf dunia bola sepak Malaysia ke tahap lebih tinggi, selaras dengan agenda negara.
“Kami berbesar hati mengalu-alukan syarikat penerbangan kebangsaan kami ke Liga Malaysia. Dengan musim baharu dan perlawanan dijadual sepanjang tahun ini, ahli persaudaraan bola sepak Malaysia dan peminat yang ingin mengembara ke seluruh negara boleh mengambil kesempatan daripada peningkatan frekuensi Malaysia Airlines terutama dari Sabah dan Sarawak,” katanya.
Izham pula yakin hubungan simbiotik antara Malaysia Airlines dan MFL akan memanfaatkan peminat bola sepak di seluruh negara iaitu dengan menyatukan peminat bersama pasukan kegemaran mereka terutama penyokong dari Sabah dan Sarawak, yang kini boleh menikmati lebih banyak perlawanan di semenanjung dan sebaliknya melalui peningkatan kekerapan penerbangan.
Pemeteraian MoU tersebut susulan perkongsian terbaharu MAB dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum ini, sekali gus menunjukkan dedikasi tidak berbelah bahagi syarikat penerbangan itu dalam usaha menyokong pembangunan bakat bola sepak tanah air.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.