Sorting by

×

Malam minggu di Banda Hilir lebih meriah

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

BANDA HILIR 12 Ogos – Suasana malam minggu di Banda Hilir akan bertambah meriah menerusi program Santai @Banda Hilir yang dikelolakan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, program tersebut merupakan inisiatif terbaharu pihaknya dalam menambah kemeriahan suasana di lokasi tumpuan pelancongan itu.

Jelas beliau, Santai @Banda Hilir bakal bermula pada 19 Ogos (Sabtu) ini yang mana ia bakal diadakan pada setiap minggu dengan menampilkan tema berbeza.

“Untuk minggu pertama nanti, tema yang dipilih ialah Malam Belia Berkarya yang khusus untuk golongan belia.

“Pelbagai pengisian program akan diadakan termasuklah persembahan hebat belia Negeri Melaka, selain belia-belia terlibat juga akan berkumpul dengan tema 60-an di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir sambil mengibar Jalur Gemilang bagi program ‘run and ride’ santai.

“Selain belia, setiap minggu kita akan cuba membawa tema yang berbeza termasuklah bersama wanita, penggiat sukan dan lain-lain lagi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Shadan berkata, program tersebut juga merupakan antara agenda dalam menjayakan ‘Car Free Zone’ yang dicadang Kerajaan Negeri di lokasi tersebut.

Menurutnya, secara tidak langsung dengan adanya inisiatif itu, aktiviti perniagaan di Banda Hilir pada sebelah malam akan bertambah rancak dengan gerai jualan akan dibuka di kiri dan kanan jalan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

8218
Kongsi :
Previous post Cadang Melaka jadi hab himpun karikatur
Next post Boling satukan alumni SMK Seri Mahkota Umbai
Ubah saiz-+=