Sorting by

×

Malakat Mall Masjid Tanah ‘pindah ke rumah yang lebih kecil’

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

MASJID TANAH 23 Feb – Operasi Malakat Mall akan berpindah ke bangunan baru berikutan kegagalan mencapai persetujuan berhubung isu kos sewa bangunan dengan pemilik asal  MARA Incorporated Sdn. Bhd (Mara Inc).

Perkara itu dikongsi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim menerusi Facebooknya.

Menerusi hantaran itu beliau berkata, rundingan dengan pemilik asal bangunan itu dimulakan sejak beberapa bulan lalu namun gagal mencapai sebarang persetujuan.

“Kami minta berunding semula terma-termanya sebab situasi PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang berpanjangan. Pada tahun kedua, sewanya adalah RM70,000 sebulan. Dengan jualan yang kami dapat sekarang, memang mustahil kami boleh bertahan di sana.

“Kerana itu, kami terpaksa buat keputusan untuk keluar dan kami telahpun diminta untuk keluar oleh Mara Inc. Ini keputusan yang terpaksa kami lakukan. Jadi saya membuat pengumuman yang kami akan keluar dari bangunan itu,” katanya.

Katanya, bagi memastikan kakitangan sedia ada tidak hilang mata pencarian pihaknya mengambil keputusan untuk berpindah ke bangunan yang lebih kecil dan meneruskan operasi di Masjid Tanah.

“Atas sebab itu, kami tidak membuang walaupun seorang staf. Kami tawarkan semua staf untuk melibatkan diri dalam versi Malakat Mall yang lebih kecil.

“Itu komitmen saya. Saya tak sanggup nak berhentikan staf walaupun kami tak cukup kekuatan kewangan untuk menampung keperluan mereka.

“Jadi kami buat keputusan untuk mencari tiga lot kedai. Dua untuk ‘grocer’ dan satu untuk ‘F&B’. Kakitangan lain akan ditugaskan untuk mengendalikan ‘wagon Tea Amo’ sekitar Melaka sebab kami dah ditawarkan oleh beberapa pasar raya untuk memasukkan ‘Tea Amo’. Cuma kami belum ada staf,” katanya.

Bagi perancangan dalam masa kurang dua atau tiga tahun, pihaknya mensasarkan untuk bangkit semula dan cuba perbaiki kelemahan-kelemahan yang ada.

“Beroperasi di tempat yang lebih kecil tetapi cukup untuk memenuhi keperluan Masjid Tanah. Mungkin tak ada bangunan cantik tetapi lot kedai pun okeylah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3026
Kongsi :
Previous post PM tiba untuk lawatan negara sulung ke Kemboja
Next post RON97 naik dua sen RON95 dan diesel kekal
Ubah saiz-+=