Makan Malam HAWANA julang jasa wartawan

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

ALOR GAJAH 28 Mei – Majlis Makan Malam sempena Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 diadakan bagi meraikan profesion kewartawanan negara dalam memacu hala tuju profesion berkenaan dan industri media negara.

Ia diadakan sebagai acara simbolik menjelang sambutan kemuncak HAWANA yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri esok.

Majlis makan malam yang diadakan di Dewan Istana, A Famosa Resort, di sini, itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam yang tiba pada jam 9.10 malam.

Program itu juga turut dihadiri, Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Tan Sri Annuar Musa; Ketua Setiausaha K-KOMM, Datuk Seri Mohammad Mentek; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zaidi Johari; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum dan EXCO Pelancongan Kebudayaan dan Warisan, Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Hadir sama, Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia dan Indonesia (ISWAMI) Malaysia, Datuk Mokthar Hussain; Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Senator Datuk Ras Adiba Radzi dan barisan ketua pengarang daripada pelbagai agensi media tempatan.

Acara makan malam itu turut meraikan 15 delegasi wartawan dari Indonesia, barisan panelis HAWANA serta wartawan tempatan.

Antara pengamal media dari pelbagai agensi hadir memeriahkan sambutan makan malam yang diadakan tersebut.

Sambutan HAWANA bertemakan ‘Suara Jelata, Aspirasi Negara’ akan mencapai acara kemuncaknya diraikan di Hotel Hatten esok.

HAWANA 2022 dijangka akan dihadiri lebih 700 pengamal media negara, ketua pengarang pelbagai agensi dan wartawan muda negara.

Turut diadakan Forum Media Nasional yang menampilkan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar serta beberapa nama besar industri media, selain turut menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Dr Chamil Wariya dan Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Hari Ini Sdn Bhd Datuk Seri Abdul Jalil Hamid selaku moderator.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1056
Kongsi :
Previous post Persidangan POMR bincang kaedah harungi cabaran doktor pakar
Next post Remaja lemas ketika mandi sungai
Ubah saiz-+=