Makan di restoran, kedai mahal, pengguna perlu bijak memilih – Dr Suhaida

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 13 Mei – Susulan isu harga makanan di restoran atau kedai makan ‘cekik darah’ sebagaimana dakwaan ramai, ahli akademik di negeri ini percaya semuanya berbalik semula pada kuasa membeli setiap pengguna.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka Kampus Bandaraya, Dr Suhaida Mohd Amin berkata tidak dinafikan terdapat beberapa barangan mentah yang naik harga, namun itu bukan alasan peniaga untuk menjual barang makanan dengan harga tidak munasabah.

“Kita kena ada situasi ‘menang-menang’, pertama bagaimana peniaga nak mengekalkan pelanggan sedia ada..jika terpaksa naikkan harga barang, naikkan harga barang yang betul-betul melibatkan kos barangan dibeli peniaga.

“Manakala, pengguna pula kena bijak merancang atau memilih restoran dan kedai makan mana yang lebih murah serta berbaloi untuk menjamu selera, kalau kedai A mahal pergi ke kedai B pula.

“Peniaga jangan ambil kesempatan kalau nak naik harga melibatkan barang kerana kos meningkat baru boleh, kita jangan sampai pelanggan lari sebab bila harga barang dah naik kita akan pergi ke kedai lain…untuk jangka panjang dia (peniaga) akan rugi nanti,” katanya ketika dihubungi MHI.

DR Suhaida.

Dr Suhaida berkata peniaga juga perlu mencari alternatif lain sekiranya kos barangan yang dibeli untuk perniagaan semakin meningkat.

Katanya, perniagaan perlu mengikut konsep ekonomi, yang mana jika pengusaha mengalami kenaikan harga bahan mentah, jangan guna bahan mentah sama sebaliknya perlu cari alternatif lain termasuk memilih barang dengan harga yang lebih murah supaya harga boleh dikekalkan.

“Contohnya macam hendak buat kuih donut, dulu orang niaga sebiji dalam RM0.20 tapi sekarang boleh cecah sampai RM0.50 sebiji, sedangkan harga tepung dan gula tidak naik mendadak hingga peniaga perlu gandakan harga jualan mereka.

“Kita tahu ramai peniaga yang gulung tikar waktu pandemik COVID-19 melanda negara, tapi jika nak ganti balik pendapatan yang hilang dulu tu jangan lah sampai tidak munasabah harga dia, berpada-pada lah,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1360
Kongsi :
Previous post Tajuk-Tajuk Utama Akhbar: Jumaat 13 Mei 2022
Next post Tukang cat dan pelajar perempuan rugi RM47,324 dengan iklan kerja
Ubah saiz-+=