Makan di gerai lebih sedap,murah – pengguna
AYER KEROH 12 Mei – Kerana mahu berjimat ramai dalam kalangan penduduk sekitar Melaka Tengah yang memilih menjamu selera di gerai tepi jalan berbanding restoran yang menawarkan keselesaan dan pilihan aneka lauk.
Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di sekitar Ayer Keroh hari ini mendapati ada pelanggan yang tidak kisah dengan keselesaan kerana bagi mereka apa yang penting adalah hidangan ditawarkan enak dan murah.
Tidak keterlaluan ada yang mendakwa sebenarnya hidangan gerai di tepi jalan lebih sedap berbanding ditawarkan di restoran ternama.
Nurul Huda Hazirah Ahmad Fauzi, 24, berkata, jika ke restoran kos untuk dua pinggan nasi bersama lauk untuk dirinya dan suami boleh mencapai RM30.
“Makan di gerai lebih berbaloi, kos untuk seorang sekitar RM6 saja, jadi penjimatannya amat ketara dibandingkan menjamu selera di restoran.
“Berdasarkan pengalaman pula kami pernah terkena, makanan disediakan kurang enak harga pula mahal.
“Dalam suasana ekonomi semasa saya sebagai pengguna berharap peniaga dapat bertolak ansur, biarlah makanan itu berbaloi dengan harga dibayar. Lebih penting jaga kualiti biar pelanggan puas hati,” katanya yang menetap di Durian Tunggal.
Sementara itu, Mohamad Izhar Sulaiman, 26, berkata, sebagai penuntut universiti dia memang memilih gerai di tepi jalan kerana perlu berjimat.
“Saya lebih selesa makan di gerai sebab lebih murah, biasanya sekali makan paling murah RM5, tapi jika restoran memang lebih mahal.
“Bagi pelajar seperti saya membayar makanan berharga RM8 atau RM9 seorang itu sudah dianggap mahal. Kalau mahu lebih jimat saya akan masak sendiri,” katanya.
Manakala seorang lagi penuntut universiti Zulfadhli Mohd Ruse, 26, juga berpendapat membeli atau makan di gerai tepi jalan lebih berbaloi berbanding di restoran.
“Sekarang ini harga makanan naik mendadak, kerana mahu berjimat kami akan masak sendiri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.