Majukan pendidikan kemahiran dan sukan di DUN Ayer Limau

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER LIMAU 10 Nov – Pembangunan pendidikan kemahiran dan sukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau akan ditingkatkan bagi melahirkan lebih ramai belia mahir, selain atlet berkaliber.

Sesuai dengan kemahiran dalam bidang pendidikan jasmani yang ada pada calon Barisan Nasional (BN) Ayer Limau, Hameed Mytheen Kunju Basheer, beliau bakal memberi fokus untuk memajukan kepada pembangunan pendidikan dan sukan jika menang.

Bekas guru pendidikan jasmani di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Alor Gajah itu berkata, sepanjang perkhidmatannya sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Masjid Tanah dari 2013 hingga 2018, beliau menganjurkan pelbagai kejohanan untuk belia.

“Saya dan ahli jawatankuasa (AJK) menganjurkan pertandingan bola, sepak takraw dan beberapa kejohanan sukan yang lain hingga ahli Pemuda UMNO mengenali saya sebagai ‘Cikgu Bola’ berbanding Ketua Pemuda UMNO bahagian.

“Insya-Allah jika saya dipilih oleh pengundi, saya akan memajukan lagi bidang sukan di Ayer Limau,” katanya ketika ditemui menikmati sarapan bersama anggota komuniti di Kampung Ayer Limau, di sini hari ini.

Selain itu, aspek pembangunan pendidikan juga akan diberi fokus utama kerana ia adalah aspek yang mampu mengubah nasib seseorang kerana dengan memiliki ilmu dan pendidikan, anggota komuniti mampu menikmati kehidupan lebih baik, katanya.

Hameed, 48, yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah berkata, walaupun sudah ada beberapa institusi pendidikan awam di Parlimen Masjid Tanah, ia perlu ditingkatkan lagi bagi memberi peluang kepada lebih ramai belia.

“Aspek pendidikan kemahiran harus ditingkatkan walaupun sekarang sudah ada Kolej Komuniti dan Pusat GiatMara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berjanji berusaha menarik pelbagai agensi kerajaan untuk menubuhkan pusat pembangunan kemahiran belia di kawasan Ayer Limau.

Hameed berhadapan dengan cabaran calon Pakatan Harapan (PH), Mazenah Baharuddin dan calon Perikatan Nasional (PN) Dr Nordina Abd Latif.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kerusi Ayer Limau dimenangi calon BN, Datuk Amirudin Yusof dengan majoriti 1,479.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

468
Kongsi :
Previous post Polis buka 23 kertas siasatan kes langgar SOP PRN Melaka
Next post SOP PRN kekal, elak gelombang keempat COVID-19
Ubah saiz-+=