MAJLIS APRESIASI PEKERJA PEMBERSIHAN 2024 JADI PLATFORM SUNTIK MOTIVASI
AYER KEROH 8 Disember – Majlis Apresiasi Pekerja Pembersihan dijadikan platform memberi motivasi, menghargai dan mengiktiraf para pekerja yang terlibat dalam kerja-kerja pembersihan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata Kerajaan Negeri amat memuji usaha dan pengorbanan pekerja pembersihan kerana karier yang dilaksanakan ini jauh lebih
mulia di mana agama Islam sendiri menuntut untuk menjaga kebersihan.
Katanya, malam penghargaan itu membabitkan lebih 4,000 pekerja pembersihan termasuk semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Selia Selenggara, Perbadanan Ketua Menteri (CMI), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) dan lain-lain lagi.
“Menurut data yang direkodkan oleh SWM Environment Negeri Melaka, purata Janaan Sisa di tapak pelupusan sehingga November 2024 merekodkan sebanyak 1,090 tan sehari, sekali gus mencatatkan keseluruhan 32,720 tan sampah sebulan.
“Jumlah ini dilihat meningkat berbanding tahun 2023 yang hanya merekodkan sebanyak 1,030 tansehari dengan keseluruhan berjumlah 30,912 tan sebulan.
“Pekerja pembersihan sememangnya memikul amanah besar untuk memastikan kebersihan persekitaran negeri ini sentiasa terpelihara dan sewajarnya kita sama-sama menitikberatkan nilai kebersihan dalam semua lapisan masyarakat, di samping sentiasa memandang tinggi kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Pekerja Pembersihan 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) malam tadi.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Turut hadir, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Exco, Timbalan Exco, Ketua Jabatan serta agensi dan kenamaan lain.
Lebih istimewa lagi, persembahan artis-artis terkenal tanah air seperti Ameng Spring dan Haiza urut memukau kehadiran lebih 4,000 pekerja pembersihan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.