MAIPs mohon jadi pencelah dalam petisyen penceraian Loh
KUALA LUMPUR, 8 Mac – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini untuk mencelah dalam petisyen penceraian antara Loh Siew Hong dan Muhammad Nagahswaran Muniandy, yang memeluk agama Islam bersama tiga anak mereka.
Peguam Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili MAIPs dalam kenyataan media hari ini berkata permohonan mencelah difailkan melalui Tetuan Zainul Rijal semalam, dibuat supaya badan agama itu mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk membuat permohonan variasi ke atas terma-terma perintah jagaan tunggal yang dimiliki Loh.
Dalam petisyen penceraian tersebut, Loh, 34, telah diberi hak jagaan, pemeliharaan dan kawalan tunggal ke atas tiga anak mereka iaitu kembar perempuan berumur 14 dan seorang lelaki berumur 10 tahun.
Zainul Rijal berkata memandangkan kanak-kanak tersebut kini telah memeluk Islam dan didaftarkan di Perlis, MAIPs bertanggungjawab untuk memastikan mereka mendapat akses ke atas hak dan kepentingan sebagai saudara baharu beragama Islam (Mualaf).
“Ia juga bagi membolehkan MAIPs mendapat akses memberikan bantuan, panduan dan pendidikan berkenaan Islam kepada tiga kanak-kanak tersebut selain sokongan dalam bentuk kewangan daripada dana zakat serta bantuan lain yang dibenarkan syarak melalui ibu mereka sendiri.
“Panduan juga akan diberikan kepada Loh selaku ibu agar dapat membesarkan tiga kanak-kanak tersebut dalam suasana kondusif mengikut syarak, tetapi tidak terhad hanya kepada pemakanan halal dan haram serta lain-lain perkara,” katanya dan menambah walaupun berada dalam jagaan Loh, tiga kanak-kanak tersebut dilihat tetap menzahirkan iktikad melalui perbuatan dan tingkah laku untuk terus berada dalam agama Islam.
Beliau berkata permohonan mencelah itu tidak akan menafikan hak Loh sebagai ibu ke atas anak-anaknya dan MAIPs berharap tiada pihak akan memainkan sentimen kebencian yang bersifat keagamaan atau perkauman.
“MAIPs ingin menegaskan bahawa ia tidak mencampuri atau menyebelahi mana-mana pihak dalam pertikaian penceraian antara Loh dan Muhammad Magahswaran dan peranannya hanya untuk memastikan kebajikan serta akidah tiga kanak-kanak tersebut sentiasa terjaga dan mendapat sokongan dari sudut kewangan, pendidikan dan sosial,” katanya.
Pada 21 Feb lepas, tiga beradik yang berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat diserahkan dengan serta merta kepada Loh selepas Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu.
Dalam notis usul yang difailkan melalui Tetuan SS Thind pada 13 Feb lepas, Loh menamakan Nazirah Nanthakumari Abdullah sebagai responden pertama dan pihak tidak dinamakan yang beliau dakwa menjaga tiga anaknya sebagai responden kedua.
Loh memohon writ habeas corpus atau perintah lain yang sesuai oleh mahkamah untuk membolehkan anak-anaknya itu dibebaskan serta-merta daripada hak penjagaan persendirian responden dan dikembalikan kepadanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.