MAIM ziarah, santuni 10 asnaf DUN Bukit Katil

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

BUKIT KATIL 2 Julai – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) terus menyantuni rakyat Melaka kurang bernasib baik dengan menerusi program ziarah kasih dan santunan masyarakat yang diadakan secara berkala.

Kali ini, MAIM melalui Badan Sukarelawan At Taqwa (BSAT) telah mengadakan ziarah kasih bagi menyantuni 10 penduduk yang memerlukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil.

Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad berkata, menerusi inisiatif itu, ia memberi peluang kepada MAIM untuk mendekati penerima sumbangan khususnya golongan asnaf di negeri ini.

“MAIM aktif mengadakan ziarah kasih ini termasuklah menyediakan peruntukan sejumlah RM440,000 tahun ini melibatkan seramai 440 asnaf memerlukan di bawah jagaan MAIM.

“Untuk program di Bukit Katil ini sahaja, kita menziarahi 10 keluarga memerlukan dalam kalangan asnaf yang mana mereka ini memang menerima sumbangan kebajikan daripada MAIM.

“Tujuan utama ziarah kasih untuk lihat sendiri keadaan asnaf-asnaf yang kita bantu selama ini, bagaimana (keadaan) keluarga mereka dan mungkin mereka perlukan bantuan tambahan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan Ziarah Kasih dan Santunan Masyarakat DUN Bukit Katil Tahun 2024 di Solok Bukit Bayan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Baitulmal MAIM Mohd Hairulamin Mohd Sis dan pemimpin masyarakat.

Ziarah kasih tersebut turut mendapat kerjasama Japerun Bukit Katil dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka.

Mengulas lanjut, Shaifulfazlee berkata, pihaknya sentiasa turun padang bagi memastikan penerima sumbangan MAIM terus diberikan bantuan kebajikan dari semasa ke semasa.

“Antara bantuan diberikan seperti bantuan kebajikan bulanan, anak sekolah, makanan, bantuan dialisis penyakit dan lain-lain secara berterusan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

133
Kongsi :
Previous post Tujuh mengaku bersalah tawar pinjaman wang tanpa lesen
Next post ‘Suami, isteri hidap kanser tabah jalani hidup’
Ubah saiz-+=