
MAIM TAWAR TPK KHAS UNTUK TUNAS BELIA
AYER KEROH 14 April – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mempelawa anak-anak penerima bantuan MAIM untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad berkata, peluang melanjutkan pengajian menerusi Tajaan Pensijilan Kemahiran (TPK) itu terbuka kepada calon berusia antara 18 hingga 25 tahun.
Jelasnya, tawaran itu adalah antara inisiatif untuk membantu mengubah nasib penerima bantuan dan keluarga mereka dilaksanakan menerusi Pelan Induk Transformasi Asnaf (PINTAS) MAIM 2025-2027.
Katanya, tawaran dikhususkan kepada calon yang tidak mempunyai pekerjaan atau belum mendapat tempat di mana-mana institusi pengajian tinggi awam atau swasta.
“Setakat ini tawaran melibatkan tiga bidang kursus kemahiran iaitu kimpalan, automotif kenderaan bermotor (kereta) dan elektrik.
“Mereka berminat diminta memohon dengan segera kerana hanya 10 orang calon terawal bagi tiap-tiap bidang pengajian akan disenarai pendek untuk mengikuti TPK ini,” katanya.
Menurut Shaifulfazlee, mereka terpilih akan menerima manfaat yang antaranya tajaan penuh pengajian, elaun setelah tamat tempoh pengajian serta mengikuti kursus di institut kemahiran yang diiktiraf.
“Justeru, mereka yang berminat boleh membuat pendaftaran pencalonan pengajian selain calon perlulah melengkapkan maklumat yang diminta atau mengimbas kod QR disediakan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.