MAIM tambah baik tatacara agihan zakat

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 24 Julai – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sentiasa menambah baik tatacara agihan zakat bagi memastikan setiap individu yang layak, menerima bantuan.

Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad berkata, justeru itu dalam memastikan penambaikkan ini dapat direalisasikan, komitmen daripada pegawai dan kakitangan bertugas diperlukan.

“Untuk itu MAIM baru-baru ini telah mengadakan Bengkel Pengurusan Agihan Zakat MAIM dengan menghimpunkan seramai 50 orang dari Bahagian Agihan Zakat MAIM dari setiap daerah untuk kita bersama-sama berkongsi pandangan.

“Beberapa perkara turut diberi penekanan dalam prosedur agihan zakat ini termasuklah tentang kriteria kelayakan asnaf yang layak dan pemuktamadan haddul kifayah atau kecukupan minimum bagi keperluan asnaf.

“Sebagai agensi bertanggungjawab kita ingin memastikan asnaf atau penerima zakat ini menerima bantuan yang sewajarnya malah sehingga kini juga sebanyak 29 skim bantuan disediakan MAIM dalam membantu asnaf,” katanya.

Menurut Shaifulfazlee, MAIM turut memperhalusi semua skim bantuan yang disediakan kepada asnaf untuk ditambah baik sejajar dengan kenaikan kos sara hidup.

“Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, MAIM memperhalusi semua skim bantuan yang disediakan malah kita dalam perancangan menaikkan kenaikan bantuan namun bergantung kepada kedudukan kewangan MAIM.

“Bermula tahun ini juga MAIM telah menaikkan beberapa jumlah bantuan kepada golongan fakir antaranya bantuan makanan bulanan daripada RM300 kepada RM400, bantuan saraan anak sekolah (BSAS) kepada RM150 dan bantuan sakit kronik kepada RM300,” katanya.

Jelasnya, bagi memberikan perkhidmatan yang lebih efisien, beberapa penambah baikkan antaranya membabitkan sistem digitalisasi akan diberi perhatian.

“Antara yang perlu ditambah baik adalah dari segi digitalisasi dan penggunaan sistem i-asnaf agar ia lebih efisien.

“Malah dalam memberikan perkhidmatan terbaik juga pegawai dan petugas perlu mengamalkan sikap integriti dengan menerapkan nilai ABC iaitu amanah, betul dan cepat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1389
Kongsi :
Previous post Penoreh getah mengaku tidak bersalah rogol anak
Next post ‘Mana lagi, Melaka Ler’, jadi fenomena
Ubah saiz-+=