Sorting by

×

MAIM TAMBAH BAIK MUTU PERKHIDMATAN

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 20 Januari – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) akan menambah baik proses permohonan bantuan apabila akan mempercepatkan kelulusan bantuan khususnya membabitkan bantuan alat bantu pulih.

Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad berkata, tambah baik perkhidmatan itu dibuat susulan maklum balas diterima pihaknya, selain teguran daripada Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Rahmad Mariman.

“Tidak dinafikan bagi meluluskan permohonan bantuan yang diterima ia perlu melalui beberapa prosedur termasuk mesyuarat, jadi proses itu mengambil masa agak lama.

“Dalam menunggu bantuan diluluskan, mungkin ada di antara pemohon sudah meninggal jadi perkara ini kita ambil maklum untuk diperbaiki.

“Jadi selepas ini dengan had kuasa yang ada pada pegawai-pegawai MAIM yang terlibat, kelulusan boleh diberikan contohnya membabitkan permohonan alat bantu seperti kerusi roda dan katil pesakit,” katanya.

Menurutnya, namun begitu sekiranya permohonan alat bantu pulih itu membabitkan kos yang tinggi ia perlu mengikut prosedur ditetapkan bagi mendapatkan kelulusan.

“Jika membabitkan permohonan yang memerlukan kos tinggi seperti untuk membuat kaki palsu itu, ia perlu menerusi prosedur ditetapkan.

“Had-had kuasa pegawai ini memang sudah diberikan jadi ia bergantung kepada jenis permohonan bantuan diperlukan, di pihak MAIM kita sebolehnya akan membantu asnaf yang memerlukan,” katanya.

Jelasnya, dengan penambahbaikan dilakukan itu diharap akan dapat membantu serta mempermudahkan bantuan disalurkan kepada asnaf.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

91
Kongsi :
Previous post ‘ANAK ASYIK TERSENYUM DAPAT BAJU SEKOLAH BAHARU’
Ubah saiz-+=