Sorting by

×

MAIM SEDIA PERUNTUKAN RM11.77 JUTA MERIAHKAN RAMADAN

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

PENGKALAN BATU 22 Februari – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) memperuntukkan sejumlah RM11.77 juta bagi melaksanakan pelbagai aktiviti keagamaan sepanjang Ramadan selain meringankan beban golongan kurang berkemampuan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata ia meliputi sumbangan kepada orang ramai, surau dan masjid di Melaka.

“Antara program kita laksanakan adalah taqarrub Ramadan melibatkan 800 masjid dan surau terpilih dengan peruntukan sebanyak RM563,000.

“Kita juga menyediakan sumbangan ihya Ramadan berjumlah RM1.63 juta kepada surau dan masjid untuk melaksanakan apa-apa program.

“Selain itu, sumbangan imbuhan kepada jawatankuasa masjid, sumbangan kepada institusi-institusi tahfiz, kakitangan strategik dan sumbangan kepada asnaf serta fakir sebanyak RM945,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah SRA dan Tadika JAIM Kampung Pasir Puteh, Bachang di sini, semalam.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad serta Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan terbabit.

Yang turut hadir Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Mengulas lanjut Rahmad berkata setakat ini Negeri Melaka mempunyai sebanyak 1,200 masjid dan surau.

“Jumlah ini direkodkan berdasarkan masjid dan surau yang telah berdaftar sahaja. Ramadan ini juga setiap masjid akan menerima sumbangan sebanyak RM3,000, manakala RM1,200 pula adalah untuk surau.

“Jadi terpulang kepada masjid dan surau ini mahu laksanakan program apa asalkan memberi manfaat kepada seluruh umat Islam,” katanya.

Ends ..
Foto mr rasul

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

203
Kongsi :
Previous post MELAKA KESAN TIGA LOKASI PANAS WABAK DENGGI
Next post WARGA EMAS BERSYUKUR RUMAH BERWAJAH BAHARU AIDILFITRI TAHUN INI